Vaksin influenza untuk pesakit penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)

Soalan

Adakah vaksin influenza mengurangkan episod-episod penyakit pernafasan atau kematian dalam pesakit penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)?

Latar belakang

COPD ialah istilah ‘payung’ yang diguna untuk menggambarkan penyakit-penyakit paru-paru progresif, termasuk emfisema, bronkitis kronik, dan asma refraktori (tidak bertukar balik). Penyakit ini dicirikan dengan peningkatan kesesakan bernafas. Walaupun disyorkan secara universal pesakit COPD seharusnya menerima vaksin influenza setiap tahun, sebilangan kecil kajian rawak yang terkawal (kajian di mana beberapa pesakit serupa ditempatkan secara rawak kepada dua (atau lebih) kumpulan untuk menguji ubat tertentu, rawatan atau intervensi lain) telah menilai kesan rawatan ini. Vaksin influenza mungkin boleh dihasilkan dengan virus yang tak teraktif (partikel kecil daripada dinding virus) atau virus hidup dilemahkan (kekuatan dikurangkan tetapi masih hidup).

Untuk cuba menjawab soalan, kami menjalankan carian terperinci kajian daripada seluruh dunia yang telah mengkaji penggunaan vaksin influenza untuk pesakit COPD.

Ciri-ciri kajian

Kami masukkan enam kajian dengan 2469 peserta yang mempunyai COPD, dan lima kajian lagi dengan 4281 peserta yang lebih berumur atau berisiko tinggi, sebahagiannya menghidapi penyakit paru-paru kronik.

Keputusan utama

Kami menemui beberapa bukti berkualiti sederhana di mana vaksin influenza tak teraktif telah mengurangkan ‘keradangan’ COPD, terutamanya yang berkaitan kepada virus influenza sendiri. Vaksin virus influenza tak teraktif telah diberikan sebagai suntikan ke dalam otot, dan telah dikaitkan dengan peningkatan kesan-kesan sampingan setempat (seperti sakit) di tempat suntikan, yang berjangka masa pendek. Vaksin virus tak teraktif tidak menyebabkan influenza, atau apa-apa keterukan COPD yang ketara. Penambahan virus hidup yang dilemahkan kepada virus tak teraktf tidak menambah apa-apa lagi perlindungan terhadap peserta.

Kualiti bukti

Bukti ini berkualiti sederhana. Tidak ada kajian baru sejak 2004. Kami menjalankan carian literatur terakhir pada Disember 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information