Adakah senaman sebagai intervensi dapat menolong untuk berhenti merokok

Soalan ulasan

Kami telah mengulas bukti-bukti tentang kesan program senaman terhadap orang-orang yang mahu berhenti merokok. Kami melihat sama ada program senaman, sama ada digabungkan atau tidak dengan program berhenti merokok, dapat menolong lebih banyak orang untuk berhenti dalam masa enam bulan atau lebih berbanding program berhenti merokok sahaja atau program berhenti merokok digabungkan dengan pendidikan kesihatan.

Latar belakang

Klinik pakar dan bahan-bahan bantu diri sentiasa mengesyorkan senaman untuk orang-orang yang mahu berhenti merokok. Pengamalan senaman secara kerap dapat membantu mereka berhenti merokok dengan membantu masalah 'withdrawal' dan ketagihan dan juga dapat membantu mengurus masalah berat badan.

Ciri-ciri kajian

Bukti ini adalah terkini sehingga April 2014. Kami telah menjumpai sebanyak 20 kajian dengan jumlah sebanyak 5,870 peserta. Sembilan kajian adalah dalam kalangan wanita sahaja dan satu kajian adalah dalam kalangan lelaki sahaja. Kajian-kajian ini berbeza dari segi masa dan kekerapan program-program yang ditawarkan. Kami hanya memasukkan kajian yang mengambil kira mereka yang merokok selama enam bulan atau lebih. Dalam kebanyakan kajian-kajian ini, program senaman termasuklah senaman berkumpulan dan senaman di rumah.

Keputusan utama

Oleh kerana kajian-kajian ini menggunakan kaedah dan kekerapan program senaman yang berbeza, keputusan tidak digabungkan.

Dalam empat kajian, mereka yang menerima program senaman adalah secara signifikannya lebih cenderung untuk berhenti merokok di akhir rawatan berbanding dengan mereka yang hanya menerima program berhenti merokok. Hanya dua daripada 20 kajian memberikan bukti senaman dapat membantu berhenti merokok dalam tempoh masa panjang. Dalam salah satu daripada kajian, mereka yang berada dalam kumpulan senaman, secara signifikannya mempunyai kadar berhenti yang lebih tinggi pada tiga bulan ikutan susulan dan pada 12 bulan, keputusan daripada kajian ini adalah tidak begitu signifikan. Dalam kajian ini, mereka yang menerima program senaman adalah lebih dari dua kali cenderung untuk berhenti merokok pada 12 bulan. Satu lagi kajian melaporkan secara signifikan tentang kadar berhenti merokok yang tinggi pada enam bulan ikutan susulan bagi kombinasi senaman dan program berhenti merokok berbanding dengan nasihat berhenti merokok yang ringkas. Kajian-kajian yang lain pula tidak mendapatkan kesan program senaman ke atas kadar berhenti merokok, mungkin kerana saiz kajian yang kecil ataupun program senaman tidak cukup intensif.

Kualiti bukti

Tahap bukti sama ada program senaman dapat membantu orang berhenti merokok adalah sangat rendah dan lebih banyak penyelidikan diperlukan. Terdapat beberapa isu dengan reka bentuk kajian, kemungkinan risiko bias dan perbezaan antara kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur farahim Daud (Penang Medical College). Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hosp Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nfarahim@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save