Gel fluorida untuk mencegah karies gigi di kalangan kanak-kanak dan remaja

Soalan ulasan

Soalan utama adalah: Adakah penggunaan gel fluorida untuk mencegah kerosakan gigi dikalangan kanak-kanak dan remaja berkesan dan selamat berbanding plasebo (rawatan tanpa bahan aktif) atau tanpa rawatan?

Latarbelakang

Kerosakan gigi adalah masalah kesihatan yang ketara di serata dunia yang bukan hanya mempengaruhi ramai orang dewasa tetapi 60% hingga 90% kanak-kanak.Tahap kerosakan gigi berbeza dalam negara dan di antara negara tetapi secara umum kanak-kanak dalam kumpulan sosio-ekonomi rendah (diukur dengan pendapatan, pendidikan dan pekerjaan) menunjukkan lebih kerosakan gigi. Kerosakan gigi yang tidak dirawat menyebabkan kemusnahan gigi (korona) yang berterusan; dan sering diiringi dengan sakit yang teruk. Merawat dan menggantikan gigi yang rosak adalah mahal dari segi masa dan kos dan merupakan aliran utama sumber sistem penjagaan kesihatan.

Pencegahan kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak dan remaja dianggap satu keutamaan kerana ia dikatakan lebih kos efektif berbanding dengan rawatan pergigian. Penggunaan fluorida, suatu mineral untuk mencegah kerosakan gigi telah tersebar luas. Fluorida selain wujud secara semulajadi, boleh ditambah dalam bekalan air di sesetengah kawasan, dan lazim diguna dalam ubat gigi dan produk lain yang terdapat di serata dunia. Sebagai langkah pencegahan tambahan, terdapat pelbagai cara lain untuk mengaplikasi fluorida kepada gigi, misalnya ubat kumur mulut, lozeng, varnis dan gel.

Gel fluorida sering disapu oleh profesional pergigian, atau disapu sendiri dengan pengawasan (bergantung kepada umur kanak-kanak) dari sekali setahun hingga beberapa kali setahun. Gel biasanya diletak dalam ceper yang mana kanak-kanak atau remaja perlu kekalkan dalam mulut dengan menggigit untuk lebih kurang empat minit. Kadangkala kanak-kanak boleh tertelan sedikit gel; rasa kurang selesa, muntah, sakit kepala dan sakit perut ada dilaporkan apabila terlalu banyak ditelan. Oleh kerana risiko keracunan, rawatan gel fluorida tidak disyorkan secara umum untuk kanak-kanak di bawah umur enam tahun.

Ulasan ini adalah kemaskini ulasan Cochrane tentang gel fluorida untuk pencegahan kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang pertama kali diterbitkan pada 2002.Kami menilai kajian sedia ada untuk Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane, dan bukti adalah terkini sehingga 5 November 2014.

Ciri kajian

Kami memasukkan 28 kajian yang melibatkan lebih dari 9000 kanak-kanak (berumur 2 hingga 15 tahun) secara rawak kepada rawatan gel fluorida atau kumpulan terkawal yang diberi gel plasebo atau tiada menerima rawatan sama sekali. Jangkamasa kajian adalah dari 1 hingga 4 tahun (13 kajian mengambil masa sekitar 2 tahun)Laporan kajian diterbitkan di antara 1967 hingga 2005.Tiga belas kajian dijalankan di Amerika Syarikat, tujuh di Eropah, empat di Brazil dan setiap satu di Canada, Israel, China dan Venezuela).

Keputusan utama

Kemaskini ulasan ini mengesahkan gel fluorida dapat mengurangkan kerosakan gigi dalam kanak-kanak dan remaja. Kami menggabungkan keputusan 25 kajian dan mendapati secara purata 28% pengurangan kerosakan, kehilangan dan permukaan gigi yang ditampal (21% dalam kajian yang menggunakan gel plasebo untuk kumpulan terkawal dan 38% pengurangan dalam kajian yang mana kumpulan terkawal tidak menerima rawatan sama seklai) bagi kegigian kekal.Daripada tiga kajian yang melihat kesan gel fluorida ke atas gigi pertama atau gigi susu, bukti menunjukkan penggunaal gel fluorida menghasilkan 20% pengurangan kerosakan, kehilangan dan permukaan gigi yang ditampal. Kami menemukan hanya sedikit maklumat tentang kesan mudarat atau kesan yang tidak diingini atau bagaimana kanak-kanak dan remaja dapat menerima aplikasi gel tersebut.

Rumusan

Aplikasi gel fluorida menghasilkan pengurangan kerosakan gigi yang jelas dalam gigi kekal dan gigi susu. Kami menemukan sedikit maklumat tentang potensi kesan berbahaya atau kesan yang tidak diingini akibat tertelan gel secara tidak sengaja semasa rawatan. Oleh kerana kanak-kanak boleh tertelan gel semasa aplikasi, lebih kajian diperlukan tentang kesan-kesan ini.

Kualiti bukti

Bukti yang ada bagi gigi kekal adalah berkualiti sederhana. Bukti bagi gigi susu adalah berkualiti rendah kerana bilangan kecil kajian sedia ada. Bukti yang sedia ada untuk kesan sampingan adalah berkualiti rendah.

Kesimpulan penulis: 

Terdapat bukti jelas kesan pencegahan karies gel fluorida. Anggaran terbaik magnitud kesan ini berdasarkan 14 kajian plasebo-kontrol adalah penurunan 21% (IK 95%, 14% hingga 28%) D(M)FS. Ini adalah selari dengan NNT 2 (IK 95%, 1 hingga 3) untuk mengelak D(M)FS 1 di dalam populasi yang ada pertambahan 2.2 D(M)FS/tahun, atau NNT 24 (IK 95%, 18 hingga 36) berdasarkan pertambahan 0.2 D(M)FS/tahun. Maklumat tentang gigi desidus, kesan sampingan atau kebolehterimaan rawatan adalah sedikit. Kajian masa depan patut menilai potensi kesan sampingan.

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Penggunaan gel fluorida dengan cara disapukan telah digunapakai secara meluas sebagai intervensi pencegahan karies dalam surgeri pergigian dan program sekolah selama lebih dari 2 dekad.

Objektif: 

Untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan gel fluorida dalam pencegahan karies kanak-kanak dan memeriksa faktor-faktor yang berpotensi mengubahsuai kesannya.

Strategi pencarian: 

Pencarian dalam pelbagai pangkalan data elektronik, senarai artikel rujukan, jurnal carian tangan, penulis dan pengilang terpilih.

Kriteria pemilihan: 

Kajian klinikal rawak atau kuasi-rawak dengan penilaian hasil secara "blind" yang membandingkan gel fluorida dengan plasebo atau tiada rawatan paling kurang selama 1 tahun dalam kanak-kanak berumur sehingga 16 tahun. Hasil utama ialah ukuran pertambahan karies melalui perubahan pada kerosakan, kehilangan dan restorasi permukaan gigi (D(M)FS).

Pengumpulan data dan analisis: 

Keputusan pemilihan kajian, penilaian kualiti dan penggalian data diduplikasi dalam sepertiga sampel rawak dan konsensus dicapai melalui perbincangan atau penglibatan pihak ketiga. Penulis kajian dihubungi untuk sebarang data yang diperlukan. Ukuran utama keberkesanan adalah ‘pecahan dicegah’ iaitu perbezaan di antara pertambahan karies di antara kumpulan kontrol dan kumpulan yang mendapat rawatan, diekspresi sebagai peratus pertambahan di dalam kumpulan kontrol. Meta-analisis kesan rawak dijalankan pada data terkumpul. Sumber yang berpotensi untuk kepelbagaian dinilai melalui kesan rawak analisis metaregresi.

Keputusan utama: 

Dua-puluh lima kajian melibatkan 7747 kanak-kanak telah dipilih. Bagi 23 kajian yang telah menyumbang data untuk meta-analisis, anggaran terkumpul D(M)FS ‘pecahan yang dicegah’ (PF) adalah 28% (interval keyakinan (IK) 95%, 19% hingga 37%;p<0.0001). Terdapat kepelbagaian yang jelas yang disahkan secara statistik (P<0.0001). Kesan gel fluorida adalah pelbagai mengikut jenis kontrol yang diguna, dengan D(M)FS PF purata 19% (IK 95%, 5% hingga 33%;P<0.009) lebih tinggi dalam kajian klinikal terkawal tanpa plasebo. Plot corong 23 kajian menunjukkan hubungan di antara pecahan yang dicegah dan kejituan kajian. Hanya dua kajian melaporkan kesan sampingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College) Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hospital Sdn Bhd, JB) Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini,sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.

Tools
Information
Share/Save