Rawatan antibiotik makrolid (termasuk azithromycin) untuk penghidap fibrosis sista

Soalan ulasan

Apakah kesan antibiotik makrolid terhadap penghidap fibrosis sista (CF) dan jangkitan saluran pernafasan mereka?

Mesej utama

- Penghidap CF lebih terdedah kepada jangkitan paru-paru disebabkan bakteria yang mungkin sukar dirawat.

Antibiotik makrolid (seperti azithromycin dan clarithromycin) boleh mengurangkan kesan bakteria tersebut.

Salah satu antibiotik makrolid, azithromycin, dapat meningkatkan fungsi paru-paru pada enam bulan berbanding plasebo (rawatan tanpa bahan aktif) dan boleh mengurangkan risiko mendapat ‘flare-up’ jangkitan paru-paru. Kami tidak pasti sama ada dos azithromycin yang lebih tinggi adalah lebih baik daripada dos yang lebih rendah, atau jika azithromycin yang disedut lebih berkesan daripada azithromycin yang ditelan (ubat oral). Azithromycin oral sekali seminggu berbanding setiap hari mungkin menyebabkan peningkatan yang lebih kecil dalam fungsi paru-paru, tetapi mungkin terdapat jangka masa yang lebih panjang untuk ‘flare-up’ berlaku dalam kelompok mingguan.

- Bukti semasa tidak menyokong penggunaan jangka panjang azithromycin untuk semua penghidap CF.

Pengenalan

Penghidap CF mengalami jangkitan dalam saluran pernafasan mereka, selalunya disebabkan oleh kuman Pseudomonas aeruginosa , yang rintang terhadap hampir kesemua antibiotik yang boleh ditelan (oral). Antibiotik makrolid, contohnya azithromycin dan clarithromycin, tidak membunuh kuman Pseudomonas aeruginosa secara langsung, tetapi ia boleh mengurangkan aktiviti bakteria ini.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan antibiotik makrolid (biasanya diambil secara oral) menjejaskan kesihatan penghidap CF dan sama ada ubat ini mempunyai sebarang kesan sampingan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyelidik kesan antibiotik makrolid di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa yang menghidap CF dan merumuskan bukti yang ada.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 14 kajian, yang memperuntukkan sejumlah 1467 kanak-kanak dan orang dewasa ke dalam kelompok rawatan berbeza secara rawak, yang kami sertakan dalam ulasan ini. Sebelas kajian membandingkan azithromycin dengan plasebo, satu kajian membandingkan dua dos azithromycin yang berbeza (dos tinggi berbanding dos rendah), satu kajian membandingkan azithromycin yang disedut dengan azithromycin oral, dan satu kajian membandingkan azithromycin oral sekali seminggu dengan sekali sehari.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa terdapat sedikit peningkatan dalam fungsi paru-paru di kalangan pesakit yang diberikan azithromycin berbanding plasebo pada enam bulan dan juga bahawa risiko untuk ‘flare-up’ jangkitan adalah lebih rendah. Risiko kesan sampingan (seperti muntah, cirit-birit dan sakit kepala) adalah serupa dalam kedua-dua kelompok, begitu juga dengan risiko berlakunya jangkitan baru Pseudomonas aeruginosa. Dari segi fungsi paru-paru dan ‘flare-up’ jangkitan, kami tidak pasti sama ada dos azithromycin yang lebih tinggi adalah lebih baik daripada dos yang lebih rendah (tetapi hanya satu kajian di kalangan kanak-kanak yang memeriksa dos), atau sama ada azithromycin yang disedut adalah lebih baik daripada azithromycin oral. Pengambilan azithromycin oral sekali seminggu berbanding setiap hari mungkin menyebabkan peningkatan yang lebih kecil dalam fungsi paru-paru, tetapi mungkin terdapat jangka masa yang lebih panjang untuk ‘flare-up’ berlaku dalam kelompok mingguan.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak dapat menggabungkan semua hasil keputusan kajian kerana ia diukur dengan cara yang berbeza dan pada titik masa yang berbeza; kajian akan datang patut menangani isu ini. Tambahan lagi, disebabkan ramai penghidap CF yang kini dirawat dengan terapi modulator baru (contohnya elexacaftor-tezacaftor-ivacaftor), adalah penting untuk menilai bagaimana antibiotik makrolid mempengaruhi kesihatan mereka. Dalam kajian-kajian yang kami temui untuk ulasan ini, tiada peserta yang dirawat dengan terapi modulator.

Kami dapat melaporkan keputusan kajian yang membandingkan azithromycin dengan plasebo dengan keyakinan kerana kajian tersebut dijalankan dengan baik dan melibatkan bilangan peserta yang lebih ramai. Bukti daripada kajian yang membandingkan dos tinggi dan rendah, atau azithromycin yang dinebulakan dan azithromycin oral adalah lebih kurang berkeyakinan kerana kajian bersaiz kecil dan terdapat risiko bias dalam cara kajian dilaksanakan. Kami sederhana yakin dengan keputusan kajian yang membandingkan azithromycin mingguan dengan azithromycin harian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kajian yang kami laporkan merupakan kajian paling terkini yang kami temui. Kali terakhir kami mencari kajian adalah pada November 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Tools
Information