Penggunaan sistem intrauterus pelepasan progestogen untuk perdarahan haid yang banyak

Soalan ulasan

Penulis Cochrane menilai keberkesanan, kebolehterimaan dan keselamatan sistem intrauterus pelepasan levonorgestrel (LNG-IUS) untuk merawat perdarahan haid yang banyak.

Latar belakang

Perdarahan haid yang berlebihan adalah masalah lazim dalam kalangan wanita berusia reproduktif (antara haid pertama dan menopaus). Wanita yang merasakan perdarahan haid mereka berlebihan akan mengalami pengurangan kualiti hidup dan cenderung mendapatkan bantuan perubatan. Terdapat pelbagai jenis rawatan perubatan, dengan pelbagai keberkesanan,untuk wanita dengan perdarahan yang banyak. Ini termasuklah tablet oral, seperti ubat antiradang bukan steroid (NSAID), ubat anti-fibrinolitik, pil kontraseptif, ubat-ubatan yang mengandungi progestogen dan sistem intrauterus pelepasan progestogen, peranti yang diletak di dalam rahim yang melepaskan amaun kecil progestogen secara berkala; yang juga boleh digunakan untuk kontrasepsi. Pembedahan, sama ada histerektomi (pembuangan rahim) atau ablasi endometrium (pembuangan lapisan dalaman rahim), juga sering digunakan, apabila rawatan ubat tidak efektif.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini mengandungi 25 RCT yang dilaksanakan hingga Jun 2019 yang memasukkan 2511 peserta dengan perdarahan haid yang banyak.

Keputusan utama

Semua kajian yang kami sertakan menilai kesan satu sistem intrauterus pelepasan progestogen (melepaskan 20 mikrogram levonorgestrel setiap hari) (LNG-IUS) dan kesimpulan kami hanya merujuk pada peranti ini. LNG-IUS mungkin lebih berkesan mengurangkan perdarahan haid yang banyak dan memperbaiki kualiti hidup berbanding rawatan perubatan lain.

Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara LNG-IUS dan teknik mengeluarkan lapisan dalaman rahim bagi mengurangkan perdarahan haid yang banyak, dan memperbaiki kualiti hidup. Kesan terhadap kepuasan juga mungkin serupa. Wanita yang menggunakan LNG-IUS lebih berkemungkinan mengalami peristiwa buruk, tetapi ini tidak menyebabkan wanita berhenti menjalani rawatan mereka.

Kami tidak pasti sama ada LNG-IUS sama berkesan dengan histerektomi dalam mengurangkan kehilangan darah haid tetapi kepuasan dan pembaikan kualiti hidup mungkin serupa. Walaupun sebilangan wanita yang mencuba LNG-IUS akhirnya menjalani histerektomi untuk perdarahan haid yang banyak, LNG-IUS dilihat mempunyai kos keseluruhan yang lebih rendah daripada ablasi endometrium atau histerektomi.

Kepastian bukti

Kebanyakan kajian dalam ulasan ini adalah kecil (<100 peserta) dan sesetengah berisiko bias tinggi. Penilaian untuk kepastian keseluruhan bukti untuk setiap perbandingan adalah dari sangat rendah hingga sederhana. Pembatasan bukti termasuklah pelaporan kaedah kajian yang tidak cukup dan ketidakkonsistenan. Satu kajian besar membandingkan LNG-IUS dengan histerektomi dalam tempoh 10 tahun dan sebilangan kajian lain membuat penilaian dua tahun selepas memulakan rawatan, oleh itu kami ada beberapa maklumat tentang kesan jangka panjang rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal)). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save