Ubat trisiklik dan ubat yang berkaitan untuk merawat kencing katil pada kanak-kanak

Latar belakang :
Kencing katil (enuresis malam atau enuresis) ialah kehilangan air kencing secara tidak sengaja semasa tidur tanpa disebabkan oleh gangguan fizikal. Ia boleh mengakibatkan masalah sosial, emosi dan psikologi dan kualiti hidup yang lebih rendah. Ia menjejaskan sekitar 15% hingga 20% kanak-kanak berumur lima tahun, dan boleh berterusan sehingga 2% orang dewasa. Banyak jenis ubat yang berbeza telah digunakan untuk merawat kencing katil, kedua-duanya sebagai rawatan tunggal dan digabungkan dengan rawatan lain. Ubat trisiklik adalah antidepresan, yang telah digunakan untuk merawat kencing katil sejak tahun 1960-an. Mereka mungkin berfungsi dengan kesan antispasmodik mereka pada pundi kencing. Ulasan ini mengkaji 64 ujian ubat trisiklik, yang melibatkan 4071 kanak-kanak.

Penemuan utama :
Ubat trisiklik yang paling biasa digunakan untuk merawat kencing katil ialah imipramine. Berbanding dengan plasebo, ubat trisiklik mengurangkan kencing katil kira-kira satu malam setiap minggu semasa rawatan dan kira-kira satu perlima daripada kanak-kanak mencapai 14 malam kering. Walau bagaimanapun, kebanyakannya basah semula apabila ubat trisiklik dihentikan.

Kesan buruk:
Ubat trisiklik sama berkesan dengan ubat lain yang biasa digunakan, desmopressin. Walau bagaimanapun, ia mempunyai lebih banyak kesan sampingan, seperti sawan, kesan pada jantung, hati dan darah termasuk jumlah sel putih yang rendah, terutamanya jika dos berlebihan, yang boleh menjadi serius. Bukti yang ada menunjukkan bahawa penggera kencing katil adalah rawatan yang lebih berkesan untuk mengompol daripada ubat trisiklik, dan tidak mempunyai kesan sampingan. Mereka juga mempunyai kesan yang lebih berkekalan selepas berhenti, tetapi mereka memerlukan lebih banyak usaha oleh kanak-kanak dan lebih banyak sokongan oleh keluarga mereka untuk menjadi berkesan.

Batasan:
Kebanyakan kajian yang disertakan dalam ulasan adalah lama (terbaru 2008), kecil dan berkualiti rendah, dengan maklumat yang tidak mencukupi untuk menilai risiko berat sebelah. Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga 30 November 2015.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information