Profesional penjagaan primer menyediakan penjagaan yang tidak mendesak di jabatan kecemasan hospital

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada meletakkan profesional penjagaan primer, seperti pengamal am, di jabatan kecemasan hospital (ED) untuk memberi penjagaan kepada pesakit yang mengalami masalah kesihatan yang tidak mendesak dapat mengurangkan penggunaan sumber dan kos. Kami mencari dan menganalisis kajian yang diterbitkan dan tidak diterbitkan dan mendapati empat kajian yang relevan. Ini adalah kemaskini pertama ulasan Cochrane yang diterbitkan sebelum ini.

Mesej-mesej utama

Kami tidak pasti sama ada meletakkan profesional penjagaan primer di ED untuk memberi penjagaan kepada pesakit yang mengalami masalah yang tidak mendesak adalah berkesan atau selamat seperti penjagaan doktor kecemasan berjadual yang regular, kerana kami mendapati sedikit bukti dengan keputusan yang tidak konsisten, yang kami nilaikan sebagai kepastian sangat rendah. Keselamatan belum dinilaikan.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Di kebanyakan negara, ED berada di bawah banyak tekanan kerana kehadiran pesakit yang tinggi, menyebabkan masa menunggu yang lama. Salah satu cara menyelesaikan masalah ini adalah dengan menempatkan profesional penjagaan primer di ED untuk memberikan penjagaan kepada pesakit yang tidak mempunyai masalah yang dinilai sebagai mendesak semasa ketibaan. Adalah dicadangkan ini akan menjadikan doktor kecemasan lebih mudah untuk memberi penjagaan kepada kes-kes yang lebih serius, dengan itu mengurangkan penggunaan sumber dan kos.

Apakah keputusan utama ulasan?

Ulasan ini memasukkan satu kajian rawak dan tiga kajian yang tidak rawak, melibatkan sejumlah 11,463 pesakit, 16 pengamal am, sembilan pengamal jururawat kecemasan, dan 69 pakar perubatan kecemasan. Kajian-kajian dijalankan di Ireland, UK, dan Australia, dengan wang yang diberi oleh pihak berkuasa kesihatan nasional atau serantau dan badan pembiayaan penyelidikan perubatan. Kami tidak dapat menggabungkan keputusan kerana perbezaan-perbezaan di antara kajian-kajian. Oleh kerana bukti yang kami dapati adalah kepastian yang sangat rendah, kami tidak dapat memastikan jika intervensi memberi sebarang perbezaan kepada masa menunggu atau tempoh masa tinggal di ED (1 kajian; 260 peserta), kemasukan ke hospital, ujian diagnostik, rawatan yang diberikan, konsultasi atau rujukan kepada pakar berasaskan hospital (3 kajian; 11,203 peserta), serta kos (2 kajian; 9325 peserta). Tiada di antara kajian-kajian tersebut menyediakan data tentang kejadian buruk.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Mei 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save