Kortikosteroid sedutan berbanding sistemik untuk mencegah penyakit kronik paru-paru pada bayi pramatang berat badan yang sangat rendah yang menerima ventilasi

Soalan ulasan

Objektif utama adalah untuk membandingkan keberkesanan kortikosteroid sedutan berbanding sistemik bermula dalam minggu pertama kehidupan dalam mencegah kematian atau displasia bronkopulmonari (ditakrifkan sebagai keperluan oksigen tambahan pada umur 36 minggu post menstruasi) pada bayi yang menerima ventilasi mekanikal invasif dengan berat lahir ≤ 1500 g atau usia kehamilan ≤ 32 minggu.

Latar belakang

Bayi pramatang yang memerlukan sokongan pernafasan sering menghidapi displasia bronkopulmonari. Keradangan paru-paru mungkin sebahagian daripada puncanya. Ubat kortikosteroid apabila diberikan secara oral atau melalui vena mengurangkan keradangan ini, tetapi penggunaan kortikosteroid dikaitkan dengan kesan sampingan yang serius. Penggunaan kortikosteroid telah dikaitkan dengan cerebral palsy (masalah motor) dan kelewatan perkembangan. Ada kemungkinan bahawa menyedut steroid, supaya ubat itu terus sampai ke paru-paru, dapat mengurangkan kesan buruk.

Ciri-ciri kajian

Ulasan tersebut melihat pada kajian yang membandingkan bayi pramatang yang menerima steroid melalui sedutan kepada mereka yang menerima steroid secara sistematik (melalui vena atau secara oral) ketika mereka menerima ventilasi mekanikal. Penyelidik termasuk dua kajian yang melibatkan 294 bayi. Satu kajian termasuk 278 bayi dan kajian lain termasuk 16 bayi. Tiada kajian baru dimasukkan untuk kemas kini pada 2017.

Satu kajian menerima sokongan geran dan industri menyediakan Aerochambers dan inhaler dos meteran budesonide dan plasebo untuk kajian yang besar. Tiada percanggahan dengan kepentingan yang telah dikenal pasti.

Keputusan utama

Tiada bukti bahawa menyedut steroid berbanding dengan steroid sistemik menghalang hasil utama kematian atau displasia bronkopulmonari. Jumlah hari bayi memerlukan sokongan ventilasi mekanikal atau oksigen tambahan meningkat pada bayi yang mendapat steroid yang disedut berbanding bayi yang menerima steroid sistemik. Hasil ini dilaporkan dalam kedua-dua kajian. Kadar paten duktus arteriosus (kegagalan untuk duktus arteriosus, peredaran arteri pada hayat janin, menutup selepas kelahiran) dinaikkan dalam kumpulan yang menerima sedutan steroid. Terdapat insiden gula darah tinggi yang lebih rendah dalam kumpulan steroid yang disedut berbanding dengan kumpulan steroid sistemik. Hasil sekunder ini hanya dilaporkan dalam satu kajian sahaja (kajian yang lebih besar). Dalam sub-sampel 52 kanak-kanak pada usia 7 tahun tidak ada perbezaan dalam hasil jangka panjang susulan antara kumpulan steroid yang disedut dan sistemik. dalam sampel 48 bayi yang lebih kecil hasil daripada 'pernah diberi diagnosis asma pada usia tujuh tahun' adalah jauh lebih rendah dalam kumpulan steroid yang disedut berbanding dengan kumpulan steroid sistemik.

Kualiti bukti

Berdasarkan GRADE, kualiti bukti adalah sederhana hingga rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save