Intervensi yang memberi tumpuan pada hubungan antara minda dan badan untuk orang dewasa dengan fibromyalgia

Soalan kajian

Apakah kesan terapi minda dan badan untuk fibromyalgia pada kesakitan, fungsi fizikal, mood dan kesan sampingan?

Apakah masalah yang disebabkan fibromialgia?
Orang dengan fibromyalgia mengalami sakit badan yang kronik dan meluas, serta sering mengalami keletihan (rasa penat), kekejangan, kemurungan dan masalah tidur.

Apakah intervensi minda-badan?

Intervensi minda-badan termasuk rawatan seperti biofeedback, kesedaran, terapi pergerakan, terapi psikologi dan terapi relaksasi. Biofeedback ialah apabila anda disambungkan kepada penderia elektrik yang membantu anda menerima maklumat tentang badan anda untuk membuat perubahan halus dalam badan anda, seperti berehat. Kesedaran bermakna mempunyai kesedaran tentang pemikiran, perasaan dan sensasi badan. Semua terapi minda-badan menjadikan hubungan antara pemikiran, tingkah laku dan perasaan untuk membantu orang mengatasi gejala mereka.

Ciri-ciri kajian

Kami menjalankan ulasan tentang kesan terapi minda-badan untuk orang dewasa dengan fibromyalgia. Selepas mencari untuk semua kajian yang relevan sehingga Oktober 2013, kami menemui 61 kajian yang memasukkan 4234 dewasa.

- Banyak kajian hanya memasukkan peserta wanita, tetapi beberapa kajian memasukkan beberapa peserta lelaki.
- Peserta mengalami fibromialgia yang ringan hingga teruk.
- Intervensi minda-badan dibandingkan dengan 'penjagaan biasa', seperti penggunaan ubat-ubatan. Analisa sekunder juga membandingkan dapatan dengan ‘terapi kawalan perhatian’ yang juga melibatkan penerimaan maklumat bagi satu tempoh masa yang sama dengan terapi minda-badan.

Keputusan utama pada akhir rawatan

- Bukti berkualiti rendah menunjukkan yang terapi psikologi menambahbaik fungsi fizikal, kesakitan, mood dan kesan sampingan berbanding penjagaan lazim. Lebih ramai orang tarik diri daripada kumpulan terapi psikologi berbanding penjagaan lazim.

- Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam fungsi fizikal, kesakitan dan mood antara orang yang menerima biofeedback dan penjagaan biasa tetapi ini mungkin berlaku secara kebetulan. Lebih ramai orang tarik diri daripada biofeedback berbanding kumpulan penjagaan lazim. Tiada kajian melaporkan apa-apa kesan sampingan.

- Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam fungsi fizikal, kesakitan, mood dan bilangan penarikan diri antara orang yang menerima terapi kesedaran dan penjagaan biasa. Tiada kajian melaporkan apa-apa kesan sampingan.

Kami tidak pasti sama ada terapi pergerakan menambahbaik fungsi fizikal, kesakitan, mood, kesan sampingan atau bilangan orang yang tarik diri daripada rawatan. Terdapat penambahbaikan dari segi kesakitan dan mood bagi orang yang menerima terapi pergerakan tetapi kualiti bukti adalah sangat rendah. Lebih ramai orang tarik diri dan dua peserta melaporkan mengalami peningkatan rasa sakit dalam kumpulan intervensi.

Kami tidak pasti sama ada terapi relaksasi menambahbaik fungsi fizikal dan kesakitan berbanding penjagaan lazim kerana kualiti bukti adalah amat rendah. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam mood dan penarikan diri daripada rawatan antara orang yang menerima terapi relaksasi dan mereka yang menerima rawatan biasa. Tiada kesan mudarat dilaporkan.

Anggaran terbaik tentang apa yang berlaku pada penghujung rawatan bagi orang dengan fibromialgia apabila mereka mengamalkan terapi minda-badan

Penemuan utama mengenai penggunaan terapi psikologi diringkaskan di bawah.

- Fungsi fizikal selepas 1 hingga 25 minggu (skor yang lebih tinggi bermakna had yang lebih besar)

Orang yang menggunakan terapi psikologi menilai fungsi fizikal mereka 2 markah lebih rendah pada skala 0 hingga 100 berbanding mereka yang menerima penjagaan lazim (7.5% peningkatan mutlak).

-Kesakitan selepas 3 hingga 14 minggu (skor lebih tinggi bermaksud kesakitan yang lebih teruk atau parah)

Orang yang menggunakan terapi psikologi menilai fungsi fizikal mereka 2 markah lebih rendah pada skala 0 hingga 100 berbanding mereka yang menerima penjagaan lazim (3.5% peningkatan mutlak).

- Mood (skor yang lebih tinggi bermakna sakit yang lebih teruk atau parah)

Orang yang menggunakan terapi psikologi menilai mood mereka 3 markah lebih rendah pada skala 20 hingga 80 berbanding mereka yang menerima penjagaan lazim (4.8% peningkatan mutlak).

- Menarik diri daripada rawatan atas apa-apa sebab

Sejumlah 204 daripada 1000 orang menarik diri daripada terap psikologi berbanding 148 daripada 1000 orang daripada penjagaan lazim (6% peningkatan mutlak).

- Kesan sampingan

Sembilan belas orang daripada 1000 yang menerima terapi psikologi mengalami kesan sampingan berbanding 51 daripada 1000 yang menerima penjagaan lazim (4% peningkatan mutlak). Ini mungkin berlaku secara kebetulan.

Kami tidak mempunyai maklumat yang tepat tentang kesan sampingan dan komplikasi terapi minda-badan. Kejadian buruk yang jarang berlaku mungkin termasuk kesakitan yang semakin teruk.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hanis Hamdan (Ketua Pegawai Operasi, Yayasan Jantung Kongenital Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information