Apakah matlamat ulasan ini?
Kami mengulas bukti tentang kesan memberikan maklumat kepada orang selepas strok. Mereka adalah orang yang mengalami strok atau strok mini (serangan iskemia sementara (TIA)), atau penjaga mereka, seperti rakan dan keluarga. Kami terutamanya melihat kesan terhadap pengetahuan mereka tentang strok dan penjagaan strok, mood dan kualiti hidup mereka.
Latar belakang
Strok adalah kehilangan fungsi otak secara tiba-tiba yang disebabkan oleh kekurangan bekalan darah. Strok boleh membawa kepada kematian atau masalah fizikal dan mental. Ia boleh memberi kesan besar kepada kehidupan seseorang dan orang di sekelilingnya.
Mereka yang terselamat daripada strok dan penjaga mereka sering mengatakan bahawa mereka tidak diberi fakta yang mencukupi tentang strok. Mereka sering tidak berasa bersedia untuk hidup selepas meninggalkan hospital. Sesetengah orang mengatakan mereka berasa lemah. Maklumat itu tidak dijelaskan kepada mereka atau diberikan pada masa yang salah. Maklumat boleh membantu orang ramai mengurus kesihatan mereka dengan lebih baik dan menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas strok.
Kami ingin tahu sama ada lebih baik atau lebih teruk untuk diberikan maklumat tambahan. Kami juga ingin tahu sama ada cara maklumat diberikan adalah penting.
Ciri-ciri kajian
Kami menemui 33 kajian melibatkan 5255 mangsa strok dan 3134 penjaga. Dalam 11 kajian, maklumat diberikan secara pasif sebagai risalah, DVD, sejarah perubatan atau buku kecil yang diperibadikan. Dalam 22 kajian, maklumat diberikan secara aktif, selalunya menggabungkan cara seperti ceramah, demonstrasi, mesyuarat dan panggilan telefon.
Keputusan utama
Bagi mangsa strok yang terselamat, pemberian maklumat secara aktif boleh meningkatkan pengetahuan tentang strok dan penjagaan strok. Ia mungkin sedikit mengurangkan kebimbangan dan kemurungan, tetapi mungkin tidak ketara. Ia juga boleh meningkatkan kualiti hidup. Bukti adalah kurang jelas untuk memberikan maklumat secara pasif. Namun, ia mungkin sedikit memburukkan kebimbangan dan kemurungan. Sekali lagi, ia mungkin bukan jumlah yang ketara. Bagi penjaga bukti adalah sangat tidak pasti atau tiada.
Keyakinan terhadap bukti
Kami secara amnya mempunyai keyakinan yang rendah atau sangat rendah terhadap bukti. Kami cukup yakin bahawa gejala kemurungan bagi mangsa strok berkurangan sedikit dengan pemberian maklumat secara aktif. Keyakinan kami sering dihadkan oleh faktor-faktor berikut.
• Orang dalam kajian tahu sama ada mereka memberi atau menerima lebih banyak maklumat daripada biasa. Ini mungkin telah menjejaskan apa yang mereka lakukan atau perasaan mereka.
• Terlalu sedikit orang yang telah dikaji.
• Keputusannya tidak tepat, jadi perkara ini boleh menunjukkan sama ada manfaat atau bahaya.
• Keputusan kajian individu tidak bersetuju antara satu sama lain.
Adakah ulasan ini muktahir?
Kami mencari kajian pada bulan Mei dan Jun 2019 serta mencari semula di satu sumber pada September 2020. Kajian-kajian diterbitkan antara tahun 1987 dan 2019.
Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my