Tambahan levetiracetam untuk epilepsi fokal rintang ubat

Ini adalah versi kemas kini Ulasan Cochrane yang pertama diterbitkan pada 2001 dan dikemaskini dalam Isu 9, 2012 dari Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane.

Latar belakang dan objektif

Epilepsi merupakan salah satu masalah otak yang paling biasa, mempengaruhi lebih 70 juta orang di seluruh dunia. Levetiracetam ialah ubat antiepileptik yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Dalam ulasan ini, kami meringkaskan bukti semasa mengenai keberkesanannya apabila digunakan sebagai rawatan tambahan kepada penjagaan biasa untuk orang yang mengalami epilepsi fokus yang kurang bertindak balas kepada ubat.

Kaedah

Bukti adalah terkini hingga 26 November 2018. Empat belas kajian telah disertakan di mana orang diberikan secara rawak sama ada levetiracetam atau tablet palsu (plasebo), dengan sejumlah 2455 peserta (296 adalah kanak-kanak). Ubat-ubatan biasa semua orang diteruskan, bermakna tiada sesiapa yang dibiarkan tanpa mengambil ubat antiepileptik. Antara lain, kami melihat kepada jumlah orang yang lain mengalami kekerapan sawan dikurangkan sebanyak 50% atau lebih jika mengambil levetiracetam berbanding mengambil tablet plasebo. Kami menggabungkan keputusan semua orang supaya meningkatkan keyakinan kami tentang keberkesanan levetiracetam.

Hasil utama

Levetiracetam mengurangkan kekerapan sawan dengan ketara pada orang dewasa dan kanak-kanak. Lebih separuh daripada kanak-kanak bertindak balas terhadap levetiracetam, dan 34% orang dewasa juga bertindak balas. Tindak balas ini jauh lebih daripada kumpulan plasebo, menunjukkan bahawa levetiracetam adalah lebih baik daripada plasebo. Dos levetiracetam yang paling berkesan ialah 1000mg hingga 3000mg. Untuk setiap peningkatan dos 1000mg, kemungkinan levetiracetam mengurangkan sawan kelihatan bertambah baik sebanyak 40%. Kami mendapati bahawa keputusan adalah sangat berbeza dalam setiap kajian yang kami menemui. Oleh itu, walaupun kami dapat melihat bahawa levetiracetam berfungsi, tapi sukar bagi kami untuk memastikan betapa besar kesan itu sebenarnya.

Levetiracetam biasanya diterima dengan baik oleh orang dewasa dan kanak-kanak. Kebanyakan orang berjaya habiskan pengambilan levetiracetam mereka semasa kajian. Terdapat sedikit kesan sampingan dengan levetiracetam. Satu-satunya kesan sampingan ketara yang berkaitan dengan levetiracetam adalah mengantuk. Walau bagaimanapun, kami juga mendapati bahawa tingkah laku sesetengah kanak-kanak yang mengambil levetiracetam menjadi teruk dengan ketara.

Secara keseluruhan, ia nampaknya munasabah untuk menambah levetiracetam kepada ubat antiepileptik biasa pesakit jika mereka mempunyai epilepsi fokal yang tidak bertindak balas kepada ubat lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information