Anestetik setempat epidural bagi pencegahan paralisis gastrousus pascabedah, muntah dan sakit selepas pembedahan abdomen

Latar belakang

Sakit dan paralisis usus (kegagalan pergerakan) sering berlaku selepas pembedahan abdomen. Selepas laparotomi, kolesistektomi laparoskopik dan kolektomi, kira-kira 10.3% pesakit akan mengalami paralisis usus sementara. Ini mungkin memanjangkan tempoh inap di hospital dan meningkatkan kos prosedur. Antara cara yang boleh merawat sakit selepas pembedahan abdomen adalah epidural dan suntikan opioid (bahan-bahan seperti morfin atau ubat tahan sakit). Epidural terdiri daripada memasukkan kateter (tiub yang sempit) ke dalam ruang epidural (ruang maya yang mengelilingi membran yang mengandungi cecair serebrospina dan korda spina) dan infusi larutan anestetik setempat (bahan yang menyekat transmisi sakit ke otak) (bersendirian atau dalam kombinasi dengan opioid) untuk membius abdomen. Ulasan Cochrane ini membandingkan kesan-kesan epidural yang mengandungi anestetik setempat dengan regimen berasaskan opioid pascabedah selepas pembedahan abdomen.

Tarikh carian

Bukti ada terkini sehingga Disember 2014. Apabila kami menjalankan carian semula pada Februari 2016, kami menambahkan 16 kajian potensial baru kepada senarai ‘Kajian yang menunggu klasifikasi’ dan akan memasukkannya ke dalam penemuan formal ulasan kemas kini yang seterusnya.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 128 kajian dengan 8754 peserta kedua-dua jantina yang berusia antara 33 dan 76 dalam ulasan ini dan 94 kajian dengan 5846 peserta di dalam analisis. Tiga kajian melaporkan kajian mereka didaftarkan secara rasmi.

Sumber pembiayaan kajian

Kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan dibiaya seperti berikut: pertubuhan amal (n = 19), sumber jabatan (n = 8), sumber kerajaan (n = 15) dan industri (sebahagian atau keseluruhan) (n = 15). Sumber pembiayaan tidak dinyatakan bagi kajian-kajian lain.

Keputusan utama

Kami mendapati epidural yang mengandungi anestetik setempat mengurangkan masa yang diperlukan untuk mengembalikan fungsi usus berbanding regimen berasaskan opioid (bersamaan dengan 17 jam). Epidural yang memberi anestetik setempat dan opioid juga mengurangkan sakit (bersamaan dengan pengurangan sebanyak 2.5 pada skala 0 hingga 10 bagi sakit dengan pergerakan 24 jam selepas pembedahan) dan masa inap di hospital bagi pembedahan terbuka (bersamaan dengan satu hari). Kami tidak mendapati bukti epidural dengan anestetik setempat mempengaruhi insiden muntah atau penyembuhan usus yang buruk.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai tinggi bagi pengembalian fungsi gastrousus, sederhana bagi rawatan sakit, rendah bagi tiada kesan terhadap muntah atau penyembuhan usus dan sangat rendah bagi tempoh inap di hospital selepas pembedahan terbuka.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information