Antagonis hormon pelepasan gonadotrofin berbanding agonis GnRH dalam kalangan pasangan subkesuburan yang sedang menjalani teknologi reproduktif berbantu

Soalan ulasan

Ulasan Cochrane kemaskini ini menilai efikasi dan keselamatan antagonis GnRH berbanding agonis GnRH yang lebih meluas digunakan (protokol tempoh panjang).

Latar belakang:

Agonis hormon pelepasan gonadotrofin (GnRH) lazim diguna untuk mencegah pembatalan kitaran sekunder kepada luruan pramatang hormon peluteinan (LH), dan dengan itu meningkatkan peluang kelahiran hidup dalam kalangan wanita yang menjalani teknologi reproduktif berbantu (ART), sambil mengurangkan risiko komplikasi seperti sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS). Antagonis hormon pelepasan gonadotrofin (GnRH) kini serius dipertimbangkan sebagai kaedah yang berpotensi untuk mencapai hasil rawatan lebih baik kerana protokol lebih fleksibel dan antagonis mungkin lebih berkesan untuk mengurangkan OHSS daripada agonis. Walau bagaimanapun, ada keperluan untuk menilai manfaat serta keselamatan regimen antagonis GnRH berbanding regimen agonis GnRH sedia ada.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 73 kajian rawak terkawal yang membandingkan antagonis GnRH dengan agonis GnRH di dalam sejumlah 12,212 wanita yang menjalani ART. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2015

Keputusan-keputusan utama

Tiada bukti perbezaan di antara kumpulan-kumpulan dalam kadar kelahiran hidup (i.e. kadar pada tamat rawatan). Bukti mencadangkan jika peluang kadar kelahiran hidup selepas agonis GnRH diandaikan 29%, maka peluang selepas antagonis GnRH adalah di antara 25% dan 33%. Walau bagaimanapun, kadar OHSS adalah lebih tinggi selepas agonis GnRH. Bukti mencadangkan jika risiko OHSS selepas agonis GnRH diandaikan 11%, risiko selepas antagonis GnRH adalah di antara 6% dan 9%.

Kualiti bukti

Bukti adalah berkualiti sederhana bagi kedua-dua kelahiran hidup dan OHSS. Batasan-batasan utama bukti adalah kemungkinan bias penerbitan bagi kelahiran hidup (dengan kajian-kajian kecil yang lebih mungkin melaporkan hasil yang disenangi bagi antagonis GnRH) dan kelemahan laporan kaedah kajian bagi OHSS.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save