Skleroterapi suntikan untuk vena varikos

Latar belakang

Vena varikos adalah vena bersimpul yang membesar, kelihatan berketul-ketul, biasanya terdapat di bahagian kaki. Ia boleh menyebabkan kesakitan, ketidakselesaan seperti terbakar, sakit, dan gatal-gatal serta kesakitan, berat atau bengkak secara menyeluruh di kaki. Walau bagaimanapun, sesetengah orang tidak mengaitkan semua gejala dengan vena varikos, kerana terdapat sedikit korelasi antara gejala ini dan tahap atau saiz vena varikos. Penyakit vena varikos boleh menjejaskan kualiti hidup kerana ianya secara kosmetik tidak menarik, boleh menyebabkan flebitis, pendarahan, pigmentasi kulit, dan ulser.

Suntikan skleroterapi boleh digunakan untuk merawat vena varikos. Skleroterapi dicapai dengan suntikan cecair atau buih ke dalam saluran darah, yang membawa kepada transformasi vena varikos menjadi jaringan berserabut. Komplikasi yang mungkin terjadi termasuklah pembentukan bekuan darah, pigmentasi kulit, keradangan, ulser dengan kerosakan tisu, dan tindak balas terhadap agen sklerosis.

Ulasan ini bertujuan untuk menyiasat sejauh mana skleroterapi berkesan dan selamat dengan membandingkannya dengan tiada rawatan atau rawatan plasebo (palsu); membandingkan cara yang berbeza untuk melakukan skleroterapi (termasuk dos yang berbeza, cecair berbanding buih, teknik suntikan, bahan yang berbeza) atau membandingkan skleroterapi dengan pemampatan.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami mencari kajian yang berkaitan dan mengenal pasti 28 percubaan rawak terkawal, melibatkan lebih 4278 peserta (carian semasa hingga 20 Julai 2021). Kami melihat kepada penampilan kosmetik, komplikasi, kadar sisa vena varikos, kualiti hidup, dan penambahbaikan gejala yang berkaitan dengan skleroterapi. Tiada ujian menilai rawatan berbanding tiada campur tangan, skleroterapi pada selang masa yang berbeza, atau skleroterapi berbanding dengan terapi farmakologi.

Keputusan kami menunjukkan bahawa, berbanding plasebo, skleroterapi boleh meningkatkan penampilan kosmetik dan kualiti hidup, dan mungkin boleh mengurangkan sisa vena varikos dan gejala berterusan tetapi buktinya tidak pasti. Kadar trombosis vena dalam mungkin meningkat sedikit tetapi buktinya tidak pasti. Tiada data untuk vena varikos berulang. Tiada maklumat yang mencukupi untuk membuat kesimpulan jika satu kepekatan buih lebih baik daripada yang lain, atau jika buih lebih baik daripada cecair atau sebarang bahan lain; atau jika terdapat apa-apa faedah daripada satu teknik suntikan berbanding yang lain.

Kebolehpercayaan bukti

Bukti telah dinilai sebagai sangat rendah sehingga sederhana bagi semua hasil. Kebolehpercayaan bukti telah diturunkan taraf kerana kebimbangan tentang cara kajian direka (risiko berat sebelah), bilangan kajian yang rendah yang memberikan maklumat untuk setiap hasil, bilangan peserta yang rendah, perbezaan klinikal antara peserta kajian dan selang keyakinan yang luas . Terdapat keperluan untuk lebih banyak percubaan berkualiti tinggi menggunakan kaedah piawai untuk meningkatkan keyakinan kami terhadap keputusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information