Rawatan dengan ubat oral selain steroid untuk mengurangkan radang paru-paru dan kemerosotan fungsi paru-paru dalam kalangan orang dengan fibrosis sistik

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti untuk melihat jika ubat-ubat bukan steroid dapat mengurangkan radang paru-paru dan menghentikan fungsi paru-paru menjadi lebih teruk dalam kalangan orang dengan fibrosis sistik.

Latar belakang

Keradangan paru-paru meningkatkan kerosakan paru-paru dan merupakan sebab paling lazim untuk kematian awal dalam kalangan orang dengan fibrosis sistik. Dalam dos tinggi, ubat anti-radang bukan steroid, terutama ibuprofen, boleh melawan keradangan, tetapi dalam dos yang rendah terdapat beberapa bukti ia boleh menyebabkan keradangan. Penggunaan dos tinggi juga menimbulkan kebimbangan tentang kesan yang tidak diingini, yang telah membatasi penggunaan ubat tersebut dalam fibrosis sistik.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 21 November 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan ubat anti-radang bukan steroid oral dengan plasebo (tablet yang tidak mengandungi ubat aktif). Kami melihat sebarang tahap dos tetapi kajian harus dijalankan sekurang-kurangnya dua bulan dalam kalangan orang dengan fibrosis sistik. Kami menemui 17 kajian dan memasukkan empat daripadanya dengan sejumlah 287 orang berumur lima hingga 39 tahun; satu kajian belum diterbitkan dengan lengkap dan dua lagi masih berlangsung; kami akan menilainya apabila mendapat lebih banyak maklumat. Tiga daripada empat kajian tersebut membandingkan ibuprofen dengan plasebo; dua kajian dijalankan di pusat yang sama dan menggunakan beberapa orang yang sama. Satu kajian membandingkan ubat yang dipanggil piroxicam dengan plasebo. Kajian paling lama berlangsung selama empat tahun.

Kami ingin melaporkan fungsi paru-paru, status nutrisi, sinar-x paru-paru, berapa kerap antibiotik intravena diperlukan, perincian tentang kemasukan ke hospital, survival dan kesan sampingan.

Keputusan utama

Kami menggabung keputusan dua kajian ibuprofen terbesar dan menunjukkan mereka yang mengambil ibuprofen mempunyai kadar penurunan fungsi paru-paru tahunan lebih rendah yang konsisten pada tiga ukuran fungsi paru-paru. Kami kemudian melihat keputusan apabila dibahagi mengikut usia (walaupun pada awalnya kami tidak merancang untuk melakukannya) dan mendapati dua ukuran menunjukkan kadar penurunan tahunan fungsi paru-paru lebih perlahan dalam kalangan kanak-kanak yang lebih muda. Keputusan dari empat kajian menunjukkan kurang peserta dalam kumpulan ibuprofen dimasukkan ke hospital sekurang-kurangnya sekali berbanding plasebo, walaupun tidak jelas sama ada perbezaan itu hanya kebetulan atau tidak. Dalam satu kajian, orang yang mengambil ibuprofen dos tinggi jangka panjang kurang cenderung memerlukan antibiotik intravena, mempunyai status nutrisi yang lebih baik dan paru-paru lebih sihat seperti yang dilihat pada sinar-X. Tiada kesan sampingan major dilaporkan dalam kajian-kajian, tetapi kajian-kajian tidak direka bentuk untuk menunjukkan perbezaan kadar kesan sampingan.

Kesimpulannya, kami mendapati bukti yang menunjukkan dos tinggi ubat anti-radang bukan steroid, terutama ibuprofen, dapat memperlambat perkembangan kerosakan paru-paru dalam kalangan orang dengan fibrosis sistik, terutama dalam kalangan muda. Keputusan keselamatan jangka panjang adalah terhad tetapi kami ada cukup bukti untuk mencadangkan ubat anti-radang bukan steroid dihentikan buat sementara waktu apabila orang dengan fibrosis sistik menerima aminoglikosida intravena atau ubat lain yang boleh merosakkan buah pinggang.

Kajian ubat piroxicam tidak melaporkan banyak keputusan dalam bentuk yang dapat kami analisis dalam ulasan ini. Kami tidak mempunyai sebarang keputusan untuk hasil utama fungsi paru-paru kami. Satu-satunya hasil yang kami laporkan tidak ada perbezaan antara kumpulan piroxicam dan kumpulan plasebo untuk jumlah kemasukan ke hospital.

Kualiti bukti

Kami menilai keseluruhan kualiti bukti adalah sederhana. Kami fikir ketiga-tiga kajian ibuprofen mempunyai tahap kualiti metodologi yang baik atau mencukupi dengan sedikit risiko bias terhadap hasilnya, tetapi mengguna pelbagai hasil dan ukuran ringkas. Kami tidak bimbang tentang risiko bias untuk kajian yang membandingkan piroxicam dengan plasebo.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save