Vaksin terhadap bakteria pneumokokus untuk mencegah jangkitan telinga tengah

Soalan ulasan
Kami mengulas bukti kesan vaksinasi terhadap pneumokokus (sejenis bakteria) dalam mencegah jangkitan telinga tengah dalam kalangan kanak-kanak

Latar belakang
Jangkitan telinga tengah, atau otitis media, ialah salah satu jangkitan pernafasan lazim dalam kalangan kanak-kanak Jangkitan Streptococcus pneumoniae (pneumokokus) ialah penyebab yang sering mengakibatkan jangkitan telinga tengah. Vaksinasi terhadap pneumokokus dengan vaksin pneumokokus kojugat (PCV) telah diperkenalkan terutama untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan pneumokokus teruk, seperti meningitis dan pneumonia. Kami ingin menyelidik sama ada vaksinasi dengan PCV turut mengurangkan jangkitan telinga tengah dalam kalangan kanak-kanak.

Ciri-ciri kajian
Ulasan ini memasukkan bukti sehingga 3 Disember 2013. Sembilan kajian dengan jumlah 48,426 kanak-kanak telah dimasukkan; lima kajian memasukkan 47,108 bayi, manakala empat kajian memasukkan 1318 kanak-kanak daripada satu hingga tujuh tahun yang sihat (satu kajian, 264 kanak-kanak) atau pernah mengalami jangkitan saluran pernafasan atas, termasuk jangkitan telinga tengah. Semua kajian mempunyai tempoh susulan yang panjang, dari 6 hingga 40 bulan.

Hasil utama
Apabila vaksin diberi terhadap tujuh serotaip pneumokokus (PCV 7-valent) semasa awal bayi, kejadian jangkitan telinga tengah sama ada bertambah sebanyak 5% atau berkurang 6% hngga 7%. Satu kajian dalam kalangan bayi menggunakan 11 serotaip pneumokokus dengan protein pembawa daripada bakteria lain (Hemophilus influenzae); kejadian jangkitan telinga tengah berkurang sebanyak 34%.

Kanak-kanak dengan sejarah jangkitan telinga tengah dilihat tidak mendapat manfaat daripada PCV 7-valent apabila diimunisasi selepas umur bayi.

Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti untuk PCV 7-valent yang diberi dalam usia awal bayi sebagai tinggi (kajian lanjut tidak mungkin mengubah keyakinan kami terhadap anggaran kesan), tetapi kami menilai kualiti bukti untuk multivalent (lebih daripada 7 serotaip yang berbeza) PCV sebagai sederhana (kajian lanjut mungkin memberi impak penting terhadap keyakinan anggaran kesan dan mungkin mengubah anggaran), memandangkan bukti ini hanya diperoleh daripada satu kajian sahaja. Kami menilai kualiti bukti untuk PCV 7-valent dalam kanak-kanak lebih berusia yang mempunyai sejarah pernah mengalami jangkitan telinga tengah, sebagai kuat.

Kajian lanjut terhadap kesan PCV dalam kalangan bayi, merangkumi serotaip lebih meluas (lebih dari tujuh serotaip) mungkin memberi kefahaman terhadap peranan PCV dalam mencegah jangkitan telinga tengah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my

Tools
Information
Share/Save