Acupuncture untuk mencegah migrain berepisod

Pokoknya

Bukti menunjukkan bahawa akupuntur terdiri daripada sekurang-kurangnya enam sesi rawatan yang boleh menjadi pilihan terbaik untuk mereka yang mengalami migrain.

Latarbelakang

Individu dengan migrain yang mengalami serangan sakit kepala teruk yang berulang-ulang, biasanya hanya di satu bahagian dan seringkali bersama dengan muntah. Akupunktur ialah terapi di mana jarum-jarum halus dicucuk di tempat yang tertentu pada kulit. Ia berasal dari China dan kini digunakan di banyak negara untuk merawat migrain. Kami telah menilai sama ada akupunktur mengurangkan bilangan episod migrain. Kami melihat jumlah orang dimana jumlah hari migrain pada setiap bulan telah dikurangkan sebanyak separuh atau lebih dari separuh.

Keputusan utama

Untuk kemaskini ini, kami mengulas 22 kajian melibatkan 4985 orang, yang diterbitkan sehingga Januari 2016. Kami tidak memasukkan lima kajian daripada ulasan asal kerana ia melibatkan orang-orang yang telah mempunyai migrain kurang dari 12 bulan. Kami memasukkan lima kajian baru dalam kemaskini ini.

Dalam empat kajian, akupunktur ditambah pada penjagaan biasa atau rawatan migrain pada permulaan sahaja (biasanya dengan ubat tahan sakit) menyebabkan 41 antara 100 orang yang mempunyai kekerapan sakit kepala dikurangkan separuh, berbanding dengan 17 antara 100 orang yang diberikan rawatan biasa sahaja.

Dalam 15 kajian, akupunktur telah dibandingkan dengan akupunktur 'palsu', di mana jarum dimasukkan di tempat-tempat yang tidak betul atau tidak menembusi kulit. Kekerapan sakit kepala menjadi separuh dalam 52 dari 100 para peserta yang menerima akupunktur benar berbanding dengan 43 daripada 100 para peserta yang menerima akupunktur 'palsu'. Keputusan telah dikuasai oleh tiga kajian besar, yang berkualiti baik (dengan kira-kira 400 para peserta), yang menunjukkan bahawa kesan akupunktur benar masih ada selepas enam bulan. Tiada perbezaan dalam bilangan kesan sampingan akupuntur sebenar dan 'palsu', atau bilangan peserta yang keluar daripada kajian kerana kesan sampingan.

Dalam lima kajian, akupunktur dibandingkan dengan ubåt yang telah dibuktikan untuk mengurangkan kekerapan serangan migrain, tetapi hanya tiga kajian menyediakan maklumat berguna. Pada tiga bulan, kekerapan sakit kepala menjadi separuh dalam 57 daripada 100 orang yang menerima akupunktur, berbanding dengan 46 daripada 100 orang yang mengambil ubat. Selepas enam bulan, kekerapan sakit kepala menjadi separuh dalam 59 daripada 100 orang yang menerima akupunktur, berbanding dengan 54 daripada 100 orang yang mengambil ubat. Orang yang menerima akupunktur melaporkan kesan sampingan berkurangan daripada orang yang menerima ubat-ubatan, dan berkemungkinan kurang tercicir daripada kajian.

Penemuan kami mengenai bilangan hari dalam sebulan dengan migrain boleh diringkaskan seperti berikut. Jika orang mengalami secara purata migrain selama enam hari dalam tempoh sebulan sebelum memulakan rawatan, ini akan dikurangkan kepada lima hari bagi orang yang menerima penjagaan biasa, empat hari untuk mereka menerima rawatan akupuntur palsu atau ubat profilaktik, dan tiga setengah hari untuk mereka yang menerima akupunktur benar.

Kualiti bukti

Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College).Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my.

Tools
Information