Sekatan saraf anestetik tempatan untuk pesakit patah tulang pinggul

Latar belakang: Sekatan saraf sisi terdiri daripada suntikan anestetik tempatan berdekatan dengan saraf untuk menyekat penghantaran kesakitan ke otak secara sementara. Ulasan ini meneliti bukti daripada kajian rawak terkawal yang menilai penggunaan sekatan saraf sisi untuk mengatasi kesakitan bagi pesakit yang mengalami patah tulang pinggul.

Tarikh carian: Ini adalah kemas kini ulasan yang telah diterbitkan sebelumnya. Kami telah mengemaskini carian dalam Ogos 2016.

Ciri-ciri kajian: Kami menyertakan 31 kajian (1760 peserta dewasa: 897 peserta dirawakkan untuk sekatan saraf sisi dan 863 orang tidak mengalami sekatan bahagian) dijalankan di pelbagai negara dan diterbitkan antara tahun 1980 dan 2016.

Sumber pembiayaan kajian: Kajian-kajian telah ditaja oleh organisasi amal (n = 3), organisasi kerajaan (n = 1) atau sumber jabatan (n = 5), atau sumber dana tidak dinyatakan.

Dapatan utama: Berbanding kaedah analgesia yang lain, sekatan saraf sisi yang digunakan untuk merawat kesakitan patah tulang pinggul mengurangkan kesakitan dengan pergerakan yang lebih baik dalam tempoh 30 minit (bersamaan dengan perbezaan sebanyak -3.4 dalam skala 0 hingga 10 antara dua regimen analgesik tersebut). Risiko radang paru-paru juga berkurangan apabila sekatan saraf sisi digunakan untuk merawat kesakitan patah tulang pinggul. Bagi setiap 7 pesakit dengan patah tulang pinggul, kurang satu orang akan mengalami pneumonia. Kajian mendapati tiada komplikasi besar yang berkaitan dengan sekatan saraf sisi dan melaporkan pengurangan masa bagi pergerakan pertama selepas pembedahan patah tulang pinggul (lebih kurang 11 jam lebih awal). Kami tidak mengenal pasti cukup peserta kajian untuk menentukan samada sekatan bahagian menyebabkan perbezaan dari segi kekeliruan yang akut, myocardial ischaemia dan kematian dalam tempoh enam bulan selepas pembedahan. Sekatan saraf sisi yang diberi sebagai suntikan tunggal menyebabkan pengurangan kos ubat-ubatan analgesik.

Kualiti bukti: Kami menilai kualiti bukti sebagai tinggi untuk pengurangan kesakitan pada pergerakan dalam masa 30 minit, dan sebagai sederhana untuk radang paru-paru, masa untuk pergerakan pertama dan kos ubat-ubatan analgesik. Kami mungkin memerlukan lebih banyak maklumat sebelum kami dapat membuat kesimpulan akhir tentang kesan sekatan saraf sisi terhadap risiko keadaan kekeliruan yang akut, myocardial ischaemia dan kematian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi kamisah@uitm.edu.my

Tools
Information
Share/Save