Kortikosteroid postnatal sistemik awal (sehingga tujuh hari) untuk mencegah displasia bronkopulmonari dalam bayi pramatang

Objektif ulasan: Untuk menentukan manfaat dan bahaya relatif rawatan dengan ubat-ubatan yang menyekat keradangan, dipanggil kortikosteroid, yang diberi kepada bayi yang lahir terlalu awal pada minggu pertama selepas lahir untuk mencegah kecederaan paru-paru, yang dikenali sebagai displasia bronkopulmonari (kadangkala juga disebut penyakit paru-paru kronik).

Latar belakang: Kortikosteroid boleh mengurangkan keradangan paru-paru dalam bayi baru lahir dengan displasia bronkopulmonari tetapi mungkin menghasilkan kesan buruk yang besar. Displasia bronkopulmonari adalah masalah besar bagi bayi yang baru lahir di unit rawatan intensif neonatal. Keradangan paru-paru berterusan adalah punca yang paling mungkin. Ubat kortikosteroid telah digunakan untuk mencegah atau merawat displasia bronkopulmonari melalui kesan anti-radangnya yang kuat.

Ciri-ciri kajian: Kami mengulas semua kajian klinikal bayi pramatang di mana kortikosteroid diberi sebagai ubat pada minggu pertama selepas kelahiran, yang mana data mengenai kadar terjadinya displasia bronkopulmonari kemudian dalam tempoh baru lahir adalah sedia ada.

Keputusan utama: Ulasan kajian ini mendedahkan bahawa manfaat memberi kortikosteroid sistemik kepada bayi yang bermula sehingga tujuh hari selepas kelahiran mungkin tidak melebihi kesan buruk yang diketahui. Namun, kortikosteroid tertentu yang dipanggil hidrokortison menunjukkan potensi dalam meningkatkan hasil jangka pendek tanpa mempengaruhi pembangunan neuro jangka panjang. Kesan manfaat keseluruhan kortikosteroid sistemik termasuk masa ventilator yang lebih singkat dan kurang displasia bronkopulmonari, tetapi kesan buruk termasuk tekanan darah tinggi, pendarahan dari perut atau usus, penembusan usus, glukosa berlebihan dalam aliran darah, dan peningkatan risiko palsi serebral semasa susulan, terutama mereka yang dirawat dengan dexamethasone - satu lagi jenis kortikosteroid. Penggunaan awal kortikosteroid, terutamanya dexamethasone, untuk merawat atau mencegah displasia bronkopulmonari perlu dihadkan sehingga penyelidikan tambahan dilakukan.

Kualiti bukti: Keseluruhannya, kualiti bukti yang menyokong kesimpulan kami adalah tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save