Dornase alfa, ubat yang disedut, untuk merawat penyakit paru-paru dalam sistik fibrosis

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti-bukti tentang kesan penggunaan dornase alfa yang disedut untuk merawat penyakit paru-paru pada orang dengan sistik fibrosis.

Latar belakang

Sistik fibrosis adalah satu keadaan yang diwarisi yang menjejaskan pergerakan garam di seluruh sel-sel di dalam badan dan memberi kesan, contohnya, kelenjar peluh, saluran pernafasan, pankreas dan sistem pembiakan lelaki. Penyakit paru-paru adalah penyebab kematian paling umum pada orang dengan sistik fibrosis dan walaupun jangka hayat purata telah meningkat sejak lebih 30 tahun lalu, ianya masih hanya 48.5 tahun di negara-negara berpendapatan tinggi. Orang-orang dengan sistik fibrosis menghidap penyakit paru-paru kronik kerana lendir tebal yang terbentuk di paru-paru menyebabkan jangkitan dan keradangan. Dornase alfa dicipta untuk menipiskan lendir ini, supaya lebih mudah untuk dibatuk keluar dari paru-paru; ini seterusnya mengurangkan bilangan jangkitan dan keradangan dan mengelakkan penyakit paru-paru kronik.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 12 Oktober 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 19 kajian dengan 2565 orang dengan sistik fibrosis; 15 kajian (2447 orang) membanding dornase alfa dengan plasebo (rawatan dummy dengan tiada ubat-ubatan aktif) atau tiada rawatan; dua kajian (32 orang) membanding dornase harian dengan garam hipertonik; satu kajian (48 orang) membanding dornase alfa harian dengan garam hipertonik dan dornase alfa gantian hari; dan satu kajian (38 orang) membanding dornase alfa dengan mannitol dan gabungan kedua-dua ubat-ubatan. Orang-orang dari semua peringkat umur (bayi hingga dewasa) mengambil bahagian dalam kajian yang berlangsung dari enam hari ke tiga tahun.

Keputusan utama

Dornase alfa berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan

Ulasan mendapati bahawa dornase alfa mungkin meningkatkan fungsi paru-paru dalam masa satu bulan berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan dan peningkatan ini juga dilihat dalam kajian yang lebih panjang berterusan daripada enam bulan kepada dua tahun (lapan kajian; 1708 peserta). Terdapat juga pemburukan paru-paru yang lebih kurang (penyerangan keradangan paru-paru) dalam kajian-kajian yang lebih panjang ini. Satu kajian mendapati bahawa dornase alfa dapat menjimat sebanyak 18% hingga 38% daripada kos ubat-ubatan.

Dornase alfa- harian dengan gantian hari

Satu kajian (43 kanak-kanak) menjumpai tiada perbezaan antara jadual rawatan untuk fungsi paru-paru, kualiti hidup atau pemburukan pulmonari.

Dornase alfa berbanding dengan ubatan lain yang memperbaiki pembersihan saluran udara

Keputusan daripada kajian yang membandingkan dornase alfa dengan garam hipertonik atau mannitol adalah bercampur. Satu kajian (43 kanak-kanak) menunjukkan peningkatan dalam fungsi paru-paru dengan dornase alfa berbanding dengan garam hipertonik dan satu kajian (23 peserta) melaporkan tiada perbezaan dalam fungsi paru-paru antara dornase alfa dengan mannitol atau dornase alfa dengan dornase alfa ditambah mannitol. Dalam satu kajian (23 peserta) skor kualiti hidup adalah lebih baik dengan dornase alfa bersendirian berbanding dengan dornase alfa bertambah mannitol; perbandingan dengan ubatan lain tidak menjumpai perbezaan antara rawatan untuk kualiti hidup. Tiada kajian menunjukkan perbezaan antara kesemua kumpulan dalam jumlah pemburukan pulmonari.

Secara keseluruhannya, tiada kesan sampingan yang serius telah dilaporkan, dengan hanya ruam dan perubahan suara yang dilihat lebih kerap pada orang-orang yang mengambil dornase alfa. Walau bagaimanapun, ianya tidak jelas secara muktamad daripada bukti terkini bahawa dornase alfa adalah lebih baik daripada ubat-ubatan lain seperti garam hipertonik atau mannitol.

Kualiti bukti

Kualiti bukti daripada kajian yang membandingkan dornase alfa dengan plasebo atau tiada rawatan adalah sederhana hingga tinggi untuk hasil fungsi paru-paru, tetapi hanya satu kajian yang melaporkan sebarang perubahan dalam kualiti hidup jadi bukti bagi keputusan ini adalah terhad.

Selain itu, terdapat beberapa kajian yang membandingkan jadual rawatan dornase alfa yang berbeza (contohnya sekali sehari berbanding dua kali sehari) atau membandingkan dornase alfa dengan ubat-ubatan lain yang membantu dengan pembersihan cecair, jadi bukti semasa daripada kajian ini adalah terhad dan berkualiti rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information