Hisapan tanpa khasiat untuk meningkatkan kestabilan fisiologi dan nutrisi pada bayi pramatang

Soalan ulasan

Adakah hisapan tanpa khasiat meningkatkan kestabilan fisiologi dan nutrisi pada bayi pramatang?

Latarbelakang

Seorang bayi yang dilahirkan pramatang mungkin diberi penyusuan melalui tiub ke dalam perut dan sering menerima puting untuk menghisap untuk meningkatkan nutrisi. Seorang bayi perlu hisapan, penelanan dan pernafasan yang selaras semasa menyusu. Keupayaan untuk menghisap dan menelan wujud pada 28 minggu kehamilan, tetapi bayi dapat menyelaraskan penyusuan sepenuhnya hanya dari usia 32 hingga 34 minggu. Ini bermakna bayi pramatang yang dilahirkan kurang daripada 32 minggu kehamilan biasanya tidak berupaya untuk menyusu dengan berkesan sama ada dari payudara atau botol. Mereka diberi penyusuan dengan tiub kecil yang diletakkan melalui hidung ke dalam perut ("gavage feeding"). Menghisap puting (menghisap tanpa khasiat) semasa penyusuan gavage boleh menggalakkan perkembangan kelakuan hisapan dan meningkatkan pencernaan makanan. Hisapan tanpa khasiat juga boleh memberi kesan penenangan kepada bayi, walaupun ia juga berpotensi untuk mengganggu penyusuan susu ibu.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenalpasti 12 kajian yang layak dan mendaftarkan seramai 746 bayi pramatang dalam pencarian yang dikemaskinikan sehingga Februari 2016.

Keputusan-keputusan utama

Satu analisis keseluruhan menunjukkan bahawa hisapan tanpa khasiat mengurangkan masa peralihan dari tiub kepada penyusuan oral sepenuhnya, dan dari awal penyusuan oral kepada penyusuan oral sepenuhnya. Ia juga mengurangkan tempoh hospitalisasi. Hisapan tanpa khasiat tidak menunjukkan kesan positif keatas peningkatan berat badan.

Kualiti bukti

Jumlah peserta dalam kajian-kajian ini adalah kecil, dan kami menilai kualiti bukti berdasarkan hasil kajian dan didapati bukti adalah rendah atau sangat rendah. Kajian rawak terkawal yang besar dan direka dengan baik diperlukan untuk menilai keberkesanan dan keselamatan hisapan tanpa khasiat untuk meningkatkan kestabilan fisiologi dan nutrisi pada bayi pramatang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save