Saringan komuniti untuk kerosakan visual dalam kalangan orang tua

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui jika saringan komuniti untuk kerosakan visual (hilang penglihatan) dalam kalangan orang tua menghasilkan pembaikan penglihatan. Penulis Ulasan Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 10 kajian.

Mesej utama
Tiada bukti bahawa saringan komuniti untuk kerosakan visual dalam kalangan orang tua mengurangkan tahap kerosakan visual dalam kalangan orang yang hidup bebas dalam masyarakat. Kajian lanjut tentang halangan untuk mengakses penjagaan pada usia yang lebih tua diperlukan, serta penyelidikan yang menyiasat kesan saringan penglihatan dalam populasi orang tua yang dependen.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Masalah penglihatan adalah lazim dalam kalangan orang tua dan dikaitkan dengan peningkatan peluang untuk jatuh dan kualiti hidup yang lebih rendah. Ramai orang yang lebih tua mempunyai masalah penglihatan yang tidak didiagnosis, lantas tidak menerima rawatan yang sesuai. Saringan penglihatan komuniti bagi orang tua boleh membawa memperbaiki penglihatan dengan membantu mencari orang yang bermasalah penglihatan dan menghubungkan mereka dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang sesuai yang boleh memberi rawatan untuk masalah penglihatan. Saringan boleh terdiri daripada soalan mudah mengenai penglihatan (masalah penglihatan lapor kendiri) atau ujian mata yang melibatkan pembacaan huruf pada carta.

Penulis Ulasan Cochrane ingin mengetahui jika saringan penglihatan menghasilkan pembaikan penglihatan dalam kalangan orang berusia lebih 65 tahun.

Apakah keputusan utama ulasan?
Penulis Ulasan Cochrane mendapati 10 kajian yang relevan. Empat kajian adalah dari United Kingdom, dua kajian dari Australia, dua dari Amerika Syarikat dan dua dari Belanda. Kajian-kajian tersebut membandingkan saringan penglihatan dengan tanpa saringan dalam kalangan orang yang berusia 65 tahun atau lebih tua. Orang-orang yang mengambil bahagian dalam kajian-kajian tersebut disusuli selama satu hingga lima tahun. Semua kajian mendapat pembiayaan agensi kerajaan.

Ulasan ini menunjukkan bahawa:

• secara purata komuniti yang mempunyai saringan penglihatan tidak mempunyai penglihatan yang lebih baik, berbanding dengan komuniti yang tidak menerima saringan penglihatan;
• ia tidak berbeza jika masalah penglihatan dilapor sendiri atau dikenal pasti oleh ujian penglihatan (membaca huruf pada carta);
• ia tidak berbeza jika saringan penglihatan dilakukan sendiri, atau sebagai sebahagian daripada penilaian kesihatan yang lebih meluas.

Penulis Ulasan Cochrane menilai kepastian bukti untuk setiap penemuan ulasan. Mereka mencari faktor-faktor yang boleh membuat bukti-bukti kurang pasti, seperti masalah dengan cara kajian dilakukan, kajian yang sangat kecil, dan penemuan yang tidak konsisten merentasi kajian-kajian. Mereka juga mencari faktor-faktor yang boleh membuat bukti lebih pasti, termasuk kesan yang sangat besar. Mereka menilai setiap penemuan sebagai kepastian yang sangat rendah, kepastian rendah, kepastian sederhana atau kepastian tinggi. Ulasan ini menyertakan sebahagian besar bukti kepastian tinggi.

Adakah ulasan ini terkini?
Penulis Ulasan Cochrane mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 23 November 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save