Bolehkah strategi yang bertujuan untuk memperbaiki cara perancangan dan penyampaian penjagaan kepada orang yang berlebihan berat badan atau obes menghasilkan penurunan berat badan yang lebih banyak?

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk menilai keberkesanan strategi dalam pengubahan tingkah laku anggota profesional kesihatan dan organisasi penjagaan untuk mempromosi penurunan berat badan dalam kalangan orang berlebihan berat badan dan obes. Ini adalah kemas kini ulasan Cochrane

Mesej utama

Kami mendapati bukti yang kurang dalam kesan intervensi yang penting dari segi klinikal terhadap penurunan berat badan, atau perubahan indeks jisim badan (BMI). Keputusan menunjukkan bahawa intervensi pendidikan ringkas yang diberikan kepada anggota profesional kesihatan boleh menghasilkan sedikit penurunan berat badan untuk pesakit dewasa mereka, tetapi hasil kajian adalah tidak konsisten. Bukti untuk semua intervensi lain yang telah kami lihat datangnya kebanyakan dari kajian-kajian tunggal. Oleh itu, intervensi ini memerlukan siasatan yang lanjut.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Bilangan orang yang berlebihan berat badan atau obes semakin meningkat di seluruh dunia. Berat badan yang berlebihan dikaitkan dengan banyak penyakit kronik.

Kami mencari kesusasteraan untuk kajian yang menilai kesan-kesan intervensi yang bertujuan mengubah tingkah laku anggota profesional kesihatan atau cara penjagaan dirancangkan untuk pengurusan berat badan yang lebih baik dan penurunan berat badan.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Kami memasukkan 12 kajian, lapan dalam kalangan dewasa dan empat dalam kalangan kanak-kanak. Seratus tiga puluh sembilan amalan keluarga telah dirangkumkan, yang memberi penjagaan kepada 89,754 orang yang diikuti selama 12 bulan. Tujuh kajian menilai kesan pelbagai intervensi yang ditujukan kepada anggota profesional kesihataan (i.e. pendidikan, peringatan, dan alat sokongan keputusan), dan lima lagi menilai intervensi organisasi yang berbeza (i.e. perubahan dalam orang yang penyampaikan penjagaan kesihatan, bagaimana dan di mana ia disampaikan, dll.). Intervensi perbandingan adalah penjagaan standard, atau peluang untuk mencarinya. Hasil utama yang dinilai adalah berat badan atau perubahan berat badan untuk orang dewasa, dan perbandingan berat badan kanak-kanak dengan rakan sebaya mereka.

Intervensi profesional

Pendidikan ringkas doktor penjagaan primer dalam pengurusan berat badan mungkin dapat mengurangkan berat badan pesakit mereka dengan sedikit.

Pendidikan yang disesuaikan kepada anggota profesional kesihatan untuk memperbaiki sejauh mana mereka mengikuti garis panduan mungkin membawa sedikit atau tiada perbezaan dalam pengurusan obesiti atau penurunan berat badan pada akhir kajian.

Kami tidak pasti sama ada dengan memberi doktor peringatan bercetak tentang strategi pengurusan berat badan dapat membantu mengurangkan berat badan pesakit mereka, berbanding dengan penjagaan standard.

Dua kajian melaporkan bahawa dengan memberikan doktor dengan alat sokongan membuat keputusan klinikal dalam amalan mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam BMI kanak-kanak dengan obesiti atau berat badan orang dewasa dengan berat badan berlebihan atau obesiti, berbanding dengan pesakit yang menerima penjagaan standard.

Intervensi organisasi

Dua kajian menilai kesan pasukan multidisiplin. Program penurunan berat badan yang diketuai oleh pakar pemakan atau doktor berserta pakar pemakanan boleh membawa kepada penurunan berat badan yang lebih banyak dalam kalangan pesakit dewasa berbanding dengan penjagaan standard. Penjagaan bersama (antara amalan keluarga dan doktor hospital dan pakar pemakanan) mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam BMI kanak-kanak dengan obesiti, berbanding dengan penjagaan standard.

Penstrukturan semula secara organisasi penyampaian penjagaan amalan keluarga (i.e. memperkenalkan model penjagaan kronik: latihan untuk keseluruhan pasukan amalan, peningkatan sistem rekod perubatan elektronik, pengamal jururawat kanak-kanak yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan intervensi) membawa kepada peningkatan yang sedikit BMI kanak-kanak dengan obesiti di klinik intervensi, berbanding dengan penjagaan standard.

Dua kajian menilai perubahan dalam persekitaran penyampaian perkhidmatan Penggunaan kedua-dua intervensi mel dan telefon untuk menggalakkan penurunan berat badan mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam penurunan berat badan orang dewasa dengan berat badan berlebihan atau obesiti, berbanding dengan penjagaan standard. Program pengurusan berat badan amalan keluarga yang dijalankan oleh jururawat mungkin membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan dalam BMI kanak-kanak dengan obesiti, berbanding dengan klinik pakar obesiti dalam hospital yang dijalankan oleh perunding.

Adakan ulasan ini terkini?

Penulis ulasan telah mencari kajian sehingga September 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Lin (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi pllee@ms.pmc.edu.my

Tools
Information