Adakah pendakap gigi berkesan untuk merawat gigitan silang (gigi belakang atas menggigit di bahagian dalam gigi belakang bawah)?

Mesej utama

Rawatan ortodontik dengan quad-helix (tetap) atau plat pengembangan (boleh tanggal) adalah berkesan untuk membetulkan gigitan silang posterior dalam kalangan kanak-kanak. Quad-helix mungkin lebih berkesan berbanding plat pengembangan. Bagi remaja, mungkin tiada perbezaan antara Hyrax dan Haas untuk pembetulan gigitan silang posterior.

Apakah masalahnya?

Gigitan silang posterior berlaku apabila ruang gigi atas atau rahang lebih sempit daripada gigi bawah. Ia boleh berlaku pada satu sisi atau kedua-dua sisi arkus pergigian. Keadaan ini boleh meningkatkan kecenderungan masalah pergigian (misalnya gigi haus), perkembangan rahang yang abnormal, masalah sendi, dan penampilan muka yang tidak seimbang. Gigitan silang posterior mempengaruhi sekitar 4% dan 17% kanak-kanak dan remaja di Eropah dan Amerika.

Pendekatan rawatan yang berbeza telah dicadangkan, menyebabkan banyak pendakap berbeza dihasilkan. Rawatan asas untuk membetulkan rawatan pembetulan gigitan silang melibatkan penggunaan peranti ortodontik di lelangit (bumbung mulut) untuk mengembangkan rahang atas dengan memberi tekanan kepada kedua-dua belah rahang. Peranti boleh berbentuk tetap (misalnya quad-helix, Haas, pengembang Hyrax) atau boleh tanggal (misalnya plat pengembangan). Aplians tetap diikat pada gigi, manakala peranti boleh tanggal boleh dikeluarkan dari mulut oleh pesakit.

Apa yang kami mahu tahu?

Kami ingin tahu kesan pendakap yang berbeza untuk pembetulan gigitan silang posterior.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menilai keberkesanan pendakap yang digunakan untuk membetulkan gigitan silang posterior.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 31 kajian dengan 1410 kanak-kanak dan remaja yang dirawak kepada kumpulan rawatan atau tiada rawatan. Tiga belas kajian menyertakan kanak-kanak (7 hingga 11 tahun), 12 menyertakan remaja (12 hingga 16 tahun), dan enam menyertakan kedua-duanya. Lapan kajian dijalankan di Turki, empat di Brazil, empat di Sweden, tiga di AS, tiga di Itali, dua di Kanada, dan masing-masing satu di Jerman, UK, Switzerland, Iran, Sepanyol, India dan Australia. Dua puluh tujuh kajian dijalankan di universiti dan pusat klinikal, satu kajian di amalan swasta, dan tiga kajian tidak menyatakan lokasi.

Apakah keputusan utama?

Bagi kanak-kanak, pengembangan arkus atas dengan pendakap tetap atau boleh tanggal boleh membetulkan gigitan silang posterior.

Apabila menguji pendakap tetap dan boleh tanggal antara satu sama lain, kajian mendapati quad-helix (aplians tetap) adalah lebih berjaya berbanding plat pengembangan (aplians boleh tanggal) dan rawatan dengan quad-helix mengambil masa yang lebih singkat.

Untuk perbandingan lain di antara jenis rawatan yang berbeza, tiada bukti menunjukkan satu berfungsi lebih baik daripada yang lain, tetapi kami sederhana pasti hingga rendah kepastian dalam keputusan-keputusan, oleh itu penyelidikan masa depan mungkin mengubahnya.

Sejauh mana keputusan ini boleh percaya?

Keyakinan kami terhadap keputusan adalah tinggi hingga sederhana untuk keputusan utama. Untuk perbandingan lain, keyakinan kami terhadap keputusan adalah rendah.

Adakah ulasan ini terkini?

Ulasan ini adalah yang dikemas kini. Bukti adalah terkini sehingga April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information