Tiub logam (stents) atau pembedahan (endarterectomy) untuk rawatan stenosis karotid

Soalan ulasan

Pada orang dengan karotid arteri yang mengecil, apakah risiko dan manfaat memasukkan tiub logam (stents) berbanding dengan pembedahan penyingkiran penyempitan?

Latar belakang

Stenosis karotid, pengecilan saluran darah utama di leher yang membawa darah ke otak, boleh menyebabkan strok. Rawatan piawai adalah untuk menyingkirkan penyempitan dengan pembedahan, di mana pakar bedah membuka arteri dan membuang plak (carotid endarterectomy). Satu rawatan alternatif (carotid artery stenting) menggunakan tiub kateter halus yang dimasukkan melalui kulit dan ke dalam saluran darah yang mengecil. Tiub logam (stent) diletakkan di dalam saluran darah untuk mengelakkan ia mengecil lagi.

Ciri-ciri kajian

Kami memeriksa bukti tentang manfaat dan risiko dari kajian yang membandingkan carotid artery stenting dengan pembedahan karotid dalam orang yang telah bergejala yang disebabkan oleh stenosis karotid (strok, serangan ischaemik sementara (TIA), atau gejala okular (mata)) atau dalam orang tidak pernah mengalami gejala. Kajian ini perlu rawak; oleh itu, keputusan sama ada orang dirawat dengan stenting atau pembedahan perlu dibuat secara rawak dan kedua-dua pesakit dan penyelidik tidak dapat menentukan rawatan yang pesakit terima. Ini bertujuan agar perbandingan tidak bias, atau seadil mungkin. Kami mencari kajian-kajian sehingga Ogos 2018. Kami menilai kualiti semua kajian yang disertakan.

Keputusan utama dan kesimpulan

Kajian ini merangkumi 22 kajian yang melibatkan 9753 peserta.

Pada orang yang telah mengalami gejala akibat penyempitan arteri karotid, stenting menyebabkan lebih banyak strok atau kematian ketika prosedur berbanding pembedahan. Ini adalah benar terutamanya bagi orang yang berumur lebih daripada 70 tahun. Selepas prosedur awal, kedua-dua rawatan itu adalah sama berkesan dalam mencegah strok atau kematian dalam jangka masa panjang.

Dalam orang yang tidak pernah mengalami gejala dari stenosis karotid, kedua-dua carotid artery stenting dan pembedahan membawa risiko yang sama bagi strok atau kematian dalam jangka pendek dan panjang, walaupun kepastian bukti di dalam orang ini hanya sederhana dan keputusan hendaklah ditafsirkan dengan berhati-hati.

Kualiti bukti

Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah tinggi. Faktor utama yang mengurangkan keyakinan kami dalam bukti adalah dalam kajian yang membandingkan kedua-dua rawatan dalam kalangan orang yang tidak pernah mengalami gejala daripada penyempitan arteri karotid. Untuk orang ini, lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk membuat kesimpulan yang tepat mengenai risiko dan manfaat stenting berbanding dengan pembedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information