Intervensi-intervensi untuk merawat kolestasis intrahepatik berkaitan kehamilan (ICP)

Apakah isunya?

Gangguan hati yang berlaku semasa kehamilan, paling kerap dalam tiga bulan yang terakhir, sering menyebabkan kegatalan (pruritus), yang boleh menjadi sangat menyusahkan kepada wanita hamil. Asid hempedu mengumpul dalam hati dan kepekatan asid hempedu dalam darah meningkat, walaupun gejala-gejala tidak selalunya jelas. Tanda-tanda dan gejala-gejala sering hilang secara spontan dalam beberapa hari pertama selepas kelahiran, dan biasanya dalam empat sehingga enam minggu. Walaupun keadaan tersebut kurang difahami, terdapat satu kaitan dengan kelahiran pramatang dan kelahiran mati dalam kalangan wanita dengan penyakit tersebut yang paling serius. Banyak rawatan yang telah dicadangkan. Ulasan ini adalah kemaskini ulasan yang telah diterbitkan pada 2001 dan dikemaskini pada 2013.

Mengapakah hal ini penting?

Kegatalan ini boleh melumpuhkan. Kelahiran mati dan kelahiran pramatang adalah akibat buruk serius yang penting untuk dicegah.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Kami mencari bukti dalam Disember 2019, dan telah menemui 26 kajian yang melibatkan 2007 wanita. Kajian tersebut menilai sembilan intervensi berbeza, tetapi kebanyakan kajian adalah kecil dan mempunyai risiko bias yang tinggi; oleh itu kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh. Walau bagaimanapun, rawatan yang paling kerap digunakan, asid ursodeoxycholic (UDCA), yang mana kami temui tujuh kajian (1008 orang wanita), termasuk dua kajian yang mempunyai bias berisiko rendah (755 orang wanita). Kini terdapat bukti bahawa UDCA mungkin mengurangkan kegatalan (bukti berkepastian sederhana). Walau bagaimanapun, ukuran kesan adalah kecil dan ia mungkin tidak berbaloi untuk ramai wanita hamil. Bukti untuk kesan UCDA ke atas kelahiran mati atau tekanan janin adalah tidak jelas, kebanyakannya disebabkan oleh keterbatasan dalam reka bentuk kajian dan keputusan yang tidak tepat (bukti berkepastian sangat rendah).

Apakah maksudnya?

Walaupun UDCA tidak menunjukkan dapat mencegah akibat buruk kolestasis intrahepatik berkaitan kehamilan, tiada rawatan lain yang berkesan untuk keadaan ini, dan terdapat pengurangan kecil dalam kegatalan ibu.

Lebih banyak kajian berkualiti tinggi untuk rawatan lain adalah diperlukan untuk mengenal pasti apa yang berkesan untuk kegatalan ibu dan untuk mencegah akibat buruk. Ia juga mungkin berguna untuk mengenal pasti wanita yang paling berkemungkinan akan bertindak balas terhadap UDCA (sebagai contoh, sama ada kepekatan asid hempedu mempengaruhi bagaimana wanita dengan ICP bertindak balas terhadap rawatan dengan UDCA).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save