Antibiotik untuk jangkitan bakteria dalam air kencing semasa hamil apabila tiada simptom

Apakah isunya?

Bolehkah antibiotik diberi kepada wanita hamil yang mengalami jangkitan urinari tetapi tiada simptom yang boleh memperbaiki hasil bagi wanita dan bayi-bayi mereka?

Mengapa ini penting?

Jangkitan bakteria air kencing tanpa sebarang simptom tipikal yang dikaitkan dengan jangkitan urinari (bakteriuria asimptomatik) terjadi dalam sebilangan kehamilan (2% hingga 15%). Akibat perubahan yang berlaku dalam badan mereka, wanita hamil lebih cenderung untuk menghidap jangkitan buah pinggang (pielonefritis) jika mengalami jangkitan urinari. Jangkitan tersebut boleh mengakibatkan bayi dilahirkan pramasa (sebelum 37 minggu), atau berat lahir bayi rendah (berat kurang daripada 2500 g (5.5 paun)).

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mendapati 15 kajian rawak terkawal melibatkan lebih 2000 wanita hamil dengan jangkitan urinari, tetapi tiada simptom. Antibiotik mungkin efektif untuk mengurangkan insidens jangkitan buah pinggang ibu (12 kajian, 2017 wanita) dan merawat jangkitan air kencing (empat kajian, 596 wanita). Ia boleh mengurangkan insidens bayi lahir pramasa (tiga kajian, 327 wanita) dan bayi berat lahir rendah (enam kajian, 1437 bayi). Tiada kajian menilai sebarang kesan buruk rawatan antibiotik untuk ibu atau bayi, dan kerapkali cara kajian dijalankan tidak dijelaskan dengan baik.

Kami menilai tiga hasil utama dengan pendekatan GRADE, dan mendapati bukti kepastian rendah antibiotik boleh mencegah pielonefritis, kelahiran pramasa, dan berat lahir kurang 2500 g.

Apakah maksudnya?

Rawatan antibiotik boleh mengurangkan risiko jangkitan buah pinggang dalam kalangan wanita hamil dengan jangkitan urinari tetapi tidak menunjukkan simptom jangkitan. Antibiotik juga boleh mengurangkan peluang bayi lahir terlalu awal atau berat lahir rendah. Walau bagaimanapun, oleh kerana bukti kepastian rendah, adalah sukar untuk membuat konklusi; lebih banyak penyelidikan diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information