Ubat anti-radang bukan steroid untuk sakit pinggang

Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDS) adalah ubat yang paling kerap diberikan di seluruh dunia dan biasanya digunakan untuk merawat sakit pinggang. Ulasan ini mendapati 65 kajian (termasuk lebih 11,000 pesakit) yang terdiri daripada campuran kualiti metodologi yang memandingkan pelbagai NSAIDs dengan plasebo (bahan tidak aktif yang tidak mempunyai nilai rawatan), ubat-ubatan lain, terapi lain dan dengan NSAIDs lain. Pengarang-pengarang ulasan ini membuat kesimpulan bahawa NSAIDs hanya sedikit berkesan untuk melegakan gejala jangka pendek dalam pesakit dengan sakit belakang akut dan kronik tanpa sciatica (sakit dan kesemutan pada bahagian bawah kaki). Dalam pesakit dengan sciatica akut, tiada perbezaan dalam kesan antara NSAIDs dan plasebo yang ditemui.

Pengarang-pengarang ulasan juga mendapati bahawa NSAIDs tidak lebih berkesan daripada ubat-ubatan lain (paracetamol / acetaminophen, analgesik narkotik, dan penenang otot). Placebo dan paracetamol / acetaminophen mempunyai kesan sampingan yang kurang berbanding NSAIDs. Walau bagaimanapun, NSAIDS mempunyai kesan sampingan yang kurang berbanding penenang otot dan analgesik narkotik. COX-2 NSAIDs yang baru tidak lebih berkesan daripada NSAIDs tradisional, tetapi mereka dikaitkan dengan kesan sampingan yang kurang, terutamanya ulser perut. Walau bagaimanapun, sastera lain telah menunjukkan bahawa beberapa COX-2 NSAIDs dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular.

Ulasan ini telah mendapati beberapa batasan dalam kajian. Hanya 42% ujian-ujian ini mempunyai kualiti tinggi. Banyak kajian ini juga mempunyai bilangan pesakit yang kecil dan ini menghadkan keupayaan untuk mengesan perbezaan antara NSAID dan kumpulan kawalan. Maklumat tentang keputusan dan kesan sampingan jangka panjang juga adalah sedikit.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information