Penguatan multi-nutrien susu ibu untuk bayi pramasa

Soalan ulasan: Adakah bayi pramasa (bayi yang lahir lebih awal) membesar dan berkembang dengan lebih baik apabila diberi susu ibu yang ditambah dengan protein dan kalori tambahan ("diperkuat")?

Latar belakang: Susu ibu sahaja mungkin tidak cukup untuk menyokong bayi pramasa membesar dan berkembang dengan optimum. Nutrien tambahan, seperti protein dan tenaga (kalori) dari karbohidrat atau lemak, boleh ditambahkan ke dalam susu ibu untuk menjadikannya sekitar 10% hingga 20% lebih berkhasiat. Nutrien tambahan ini dipanggil "penguat". Memberi makan bayi pramasa, terutama bayi yang lahir sangat awal (lahir sebelum 32 minggu), susu ibu yang diperkuat mungkin memberinya lebih nutrien, membesar lebih cepat, dan berkembang dengan lebih baik.

Ciri-ciri kajian: Kami memasukkan 18 kajian; kebanyakannya kecil (melibatkan sejumlah 1456 bayi) dan mempunyai beberapa kelemahan reka bentuk yang mungkin mempengaruhi penemuan-penemuan. Carian adalah terkini sehingga September 2019.

Keputusan utama: Bayi pramasa yang diberi susu ibu yang diperkuat menambah berat badan dan panjang dan ukuran kepala lebih cepat semasa mereka berada di hospital. Kajian yang kami masukkan tidak melaporkan banyak maklumat tentang kesan susu ibu yang diperkuat terhadap perkembangan dan tumbesaran dalam kehidupan bayi di kemudian hari. Data yang kami ada tidak mencadangkan kesan pemberian susu ibu yang diperkuat terhadap hasil ketika anak itu lebih berusia. Kajian-kajian yang dimasukakan tidak memberi bukti konsisten potensi manfaat atau mudarat susu ibu yang diperkuat termasuk sebarang kesan ke atas penyusuan atau masalah usus.

Kesimpulan: Data kajian menunjukkan fortifikasi multi-nutrien meningkatkan kadar tumbesaran bayi pramasa semasa kemasukan hospital pertama, tetapi tidak memberi cukup bukti untuk menunjukkan kesan tumbesaran dan perkembangan jangkamasa panjang. Kajian baru diperlukan untuk mengetahui lebih lanjut tentang isu ini.

Kepastian bukti. Kami menilai bukti ini untuk memberi kesan tumbesaran sebagai "kepastian rendah atau sederhana" kerana kajian yang disertakan adalah kecil, mempunyai kelemahan metodologi, dan melaporkan penemuan yang tidak konsisten antara satu sama lain. Ini bermakna kajian lanjutan mungkin membawa impak penting dalam menganggar kesan dan keyakinan kami dalam penemuan-penemuan kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Foo Sook Lee (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save