Penambahan lemak kepada susu ibu untuk menggalakkan pertumbuhan bayi pramatang

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti untuk menentukan samada penambahan lemak (suplemen) kepada susu ibu yang diberikan kepada bayi pramatang berbanding tiada penambahan lemak meningkatkan pertumbuhan, lemak badan, obesiti, masalah jantung, gula tinggi dalam darah, dan perkembangan otak, tanpa meninggalkan kesan sampingan yang ketara.

Latar belakang

Bayi pramatang semasa dilahirkan kekurangan simpanan lemak yang mencukupi kerana mereka dilahirkan sebelum simpanan nutrien pada fasa pertumbuhan pesat di trimester ketiga kehamilan berlaku. Akibatnya, mereka memerlukan pengambilan lemak yang lebih tinggi berbanding mereka yang cukup bulan untuk mencapai pertumbuhan dan perkembangan yang mencukupi. Lemak menyumbang kira-kira separuh daripada kalori dalam susu ibu dan menyokong pertumbuhan dan perkembangan otak. Walaupun susu ibu mempunyai banyak faedah untuk bayi pramatang, susu mungkin mengandungi variabel dan kuantiti lemak yang tidak mencukupi untuk pertumbuhan dan perkembangan. Kekurangan bekalan lemak kepada bayi pramatang yang diberikan susu ibu boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan mereka. Oleh itu, lemak tambahan boleh ditambah ke dalam susu ibu, biasanya dengan menambah campuran lemak yang telah disiapkan secara komersial ke dalam sejumlah kecil (contohnya 20 mL) susu perahan.

Ciri-ciri kajian

Kami telah memasukkan satu kajian dengan bukti berkualiti sangat rendah dan yang melibatkan 14 bayi pramatang. Carian terkini adalah sehingga Februari 2018.

Keputusan utama

Penambahan lemak tambahan kepada susu ibu untuk bayi pramatang tidak menunjukkan kebaikan dalam jangka pendek secara jelas terhadap kadar pertambahan berat badan, pertambahan panjang, dan tumbesaran kepala. Tiada bukti bahawa lemak tambahan meningkatkan risiko tak tolerans terhadap susu. Tiada data yang tersedia mengenai kesan penambahan lemak tambahan terhadap pertumbuhan jangka panjang, lemak badan, obesiti, gula tinggi dalam darah, atau perkembangan otak. Data juga terhad dalam menilai kesan sampingan.

Kesimpulan

Tidak ada bukti berkualiti tinggi yang mencukupi mengenai manfaat dan bahaya penambahan lemak tambahan pada susu manusia terhadap bayi pramatang, dan tiada hasil jangka panjang yang dilaporkan. Oleh kerana penambahan lemak tambahan pada susu ibu kini dilakukan sebagai sebahagian daripada penguatan pelbagai nutrien, kajian-kajian masa depan harus menilai kesan komponen lemak terhadap pertumbuhan jangka pendek dan jangka panjang, lemak badan, obesiti, gula tinggi dalam darah, atau perkembangan otak. Jumlah dan komposisi lemak tambahan yang diperlukan secara tepat, kesan sampingan, dan amalan bersalin juga harus dinilai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nur Asmaliza Mohd Noor (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosediani Muhamad (PPSP, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save