Epidural untuk melegakan sakit semasa bersalin

Apakah isunya?

Kami bertekad untuk menilai keberkesanan semua jenis analgesia epidural (termasuk gabungan-spinal-epidural) dalam kalangan ibu dan bayi, apabila dibanding dengan bukan epidural atau tanpa kelegaan sakit semasa bersalin.

Mengapakah ini penting?

Kelegaan sakit penting untuk wanita semasa bersalin. Kaedah farmakologi untuk melegakan sakit termasuk sedutan nitrus oksida, suntikan opioid dan analgesia setempat dengan epidural untuk blok saraf pusat. Epidural meluas diguna untuk kelegaan sakit semasa bersalin dan melibatkan suntikan anestetik setempat ke kawasan bawah belakang dekat dengan saraf yang menyebar sakit. Larutan epidural diberi dengan suntikan bolus (suntikan besar dan cepat), infusi berterusan atau menggunakan pam yang dikawal oleh pesakit. Kepekatan anestetik setempat yang lebih rendah apabila diberi dengan satu opiat membolehkan wanita kekalkan kemampuan untuk bergerak semasa bersalin dan aktif menyertai kelahiran bayi. Gabungan-spinal-epidural melibatkan suntikan anestetik setempat atau opiat ke dalam cecair serebrum tulang belakang untuk permulaan pantas kelegaan sakit, serta kemasukan kateter epidural untuk kelegaan sakit yang berterusan. Kesan-kesan sampingan seperti gatal, mengantuk, menggigil dan demam telah dilaporkan. Kesan buruk yang teruk analgesia epidural yang jarang tetapi berpotensi berlaku, misalnya sakit kepala berpanjangan selepas suntikan, atau kecederaan saraf.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti pada April dan mengenal pasti 40 kajian, yang melibatkan lebih 11,000 wanita, yang menyumbang maklumat kepada ulasan ini. Kajian-kajian tersebut bervariasi dalam kualiti kaedahnya.

Semua kecuali enam kajian membandingkan analgesia epidural dengan suntikan ubat opioid. Epidural dapat melegakan sakit bersalin dengan lebih berkesan berbanding opioid, dan lebih ramai wanita mungkin lebih berpuas hati dengan epidural sebagai pelega sakit. Secara keseluruhan, wanita yang menggunakan analgesia epidural lebih cenderung memerlukan forceps atau ‘ventouse’ untuk membantu kelahiran berbanding ubat opioid. Walau bagaimanapun, kami tidak melihat kesan ini lebih kerap berlaku dalam kajian-kajian yang dijalankan sejak 2005, di mana anestetik setempat kepekatan rendah dan teknik epidural yang lebih moden seperti analgesia epidural yang dikawal oleh pesakit (patient-controlled epidural analgesia, PCEA) diguna. Epidural berbanding opioid mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kadar pembedahan caesar, wanita dengan sakit belakang jangka panjang, kesan kepada bayi semasa lahir atau bilangan bayi yang dimasukkan ke dalam penjagaan intensif neonatal.

Wanita yang menggunakan epidural boleh mengalami masalah kencing dan mengalami demam. Terdapat penemuan yang sangat berbeza seperti masa kelahiran yang lebih lama, mengalami tekanan darah yang sangat rendah, dan tidak dapat bergerak untuk jangka masa panjang selepas bersalin (sekatan motor), mungkin akibat kepekatan anestetik setempat yang lebih tinggi atau penggunaan infusi epidural dan bukan dos epidural untuk melegakan sakit secara berkala. Walau bagaimanapun, wanita yang menerima ubat opioid juga menunjukkan beberapa kesan sampingan seperti pernafasan yang perlahan sehingga mereka perlukan topeng oksigen serta lebih banyak loya dan muntah. Lebih bayi yang mana ibunya menerima opioid diberi satu ubat untuk mengatasi kesan opioid. Tiada perbezaan antara wanita dalam kumpulan epidural atau opioid untuk kemurungan postnatal, sakit kepala, gatal, menggigil atau mengantuk.

Wanita dengan epidural melaporkan kurang sakit berbanding wanita dengan plasebo atau tanpa rawatan, atau stimulasi ringan. Sakit tidak dilapor dalam kajian-kajian yang membandingkan epidural dengan analgesia sedutan, atau sokongan berterusan.

Apakah maksudnya?

Epidural dapat mengurangkan sakit semasa bersalin dengan lebih berkesan berbanding semua bentuk kelegaan sakit lain, dan mungkin meningkatkan kepuasan ibu dengan kelegaan sakit. Walau bagaimanapun, sesetengah wanita yang diberi epidural dan bukan ubat opioid mungkin lebih terbantu dalam kelahiran faraj, tetapi penemuan ini mungkin mencerminkan kepekatan lebih tinggi anestetik setempat yang diguna secara tradisional berbanding anestetik moden kepekatan lebih rendah . Penyelidikan lanjutan akan membantu, dengan penggunaan ukuran-ukuran yang lebih konsisten untuk mengurangkan hasil buruk dengan epidural.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information