Perbandingan keberkesanan dan keselamatan dua kaedah rawatan surgikal untuk perdarahan haid berlebihan

Soalan ulasan

Perdarahan haid berlebihan (HMB) adalah kehilangan darah haid yang menganggu kualiti hidup wanita. Para penyelidik Cochrane membandingkan dua rawatan surgikal untuk wanita dengan HMB. Faktor-faktor utama (dianggap terpenting) adalah bagaimana kejayaan pembedahan tersebut dapat merawat simptom-simptom HMB, perasaan wanita yang menjalani pembedahan tersebut, serta kadar komplikasi. Faktor tambahan yang dikaji adalah tempoh masa pembedahan, tempoh masa untuk wanita sembuh selepas pembedahan, dan kos pembedahan kepada hospital dan wanita sendiri.

Latar belakang

Rawatan surgikal bagi HMB termasuklah pembuangan atau pemusnahan lapisan dalam (endometrium) rahim (reseksi endometrium atau ablasi) dan pembuangan surgikal seluruh rahim (histerektomi). Kedua-dua kaedah sering ditawarkan oleh para ginekologi, biasanya selepas rawatan bukan surgikal gagal memperbetulkan masalah. Reseksi/ablasi endometrium dijalankan melalui ruang masuk ke uterus, tanpa perlu potongan surgikal. Semasa histerektomi, uterus dikeluarkan melalui potongan surgikal di abdomen, melalui faraj, ataupun melalui pembedahan lubang kunci yang melibatkan potongan surgikal yang amat kecil di abdomen (laparoskopi). Histerektomi berkesan memberhentikan HMB secara kekal, tetapi ia menyekat kesuburan dan dikaitkan dengan semua risiko pembedahan major, termasuklah infeksi dan kehilangan darah. Risiko-risiko tersebut adalah lebih kecil dengan reseksi/ablasi endometrium.

Tarikh carian

Ulasan sistematik penyelidikan yang membandingkan reseksi dan ablasi endometrium berbanding histerektomi sebagai rawatan untuk pendarahan haid berlebihan dikemaskini pada Disember 2018 oleh para penyelidik Cochrane. Selepas mencari semua kajian yang relevan, para penulis ulasan memasukkan sembilan kajian melibatkan sejumlah 1300 wanita.

Ciri-ciri kajian

Hanya kajian rawak terkawal (RCT) dimasukkan: ini merupakan kajian-kajian di mana peserta diperuntukkan secara rawak kepada satu dari dua kumpulan, setiap kumpulan menerima intervensi berbeza. Kedua-dua kumpulan kemudian dibandingkan. Ulasan ini termasuklah RCT yang membandingkan ablasi atau reseksi endometrial dan histerektomi sebagai rawatan untuk perdarahan haid berlebihan. Kajian-kajian ini tidak melibatkan wanita menopaus atau dengan kanser (atau pre-kanser) rahim.

Keputusan utama dan kesimpulan

Ulasan kajian-kajian mendapati ablasi/reseki endometrium berkesan dan mungkin alternatif yang lebih murah berbanding histerektomi, dengan kesembuhan yang lebih cepat, walaupun rawatan semula dengan pembedahan tambahan kadangkala diperlukan. Histerektomi dikaitkan dengan resolusi lebih definitif simptom-simptom tetapi memerlukan masa pembedahan lebih lama dan lebih berpotensi untuk komplikasi pembedahan. Bagi kedua-dua kaedah, wanita amnya melaporkan prosedur boleh diterima dan berpuas hati dengan pengalaman mereka.

Histerektomi laparoskopik telah meluas diguna dan sesetengah hasil seperti tampoh masa di hospital, masa untuk kembali bekerja, dan masa untuk kembali kepada aktiviti normal hampir serupa dengan kaedah ablasi endometrium. Walau bagaimanapun, histerektomi laparoskopik kerap dikaitkan dengan masa pembedahan yang lebih lama berbanding mod histerektomi lain, dan memerlukan kepakaran pembedahan dan peralatan yang khusus.

IMengenal pasti mudarat

Kedua-dua rawatan surgikal tersebut dianggap selamat, dengan kadar komplikasi yang rendah. Walau bagaimanapun, histerektomi dikaitkan dengan kadar infeksi yang lebih tinggi, keperluan transfusi darah, dan hematoma (koleksi darah dalam tisu lembut selepas pembedahan).

Kualiti bukti

Bukti yang dilaporkan dalam ulasan ini berkualiti sederhana hingga rendah, mencadangkan kajian lanjut mungkin mengubah keputusan. Ini adalah kes bagi hasil seperti persepsi wanita terhadap perdarahan dan perkadaran an wanita yang memerlukan pembedahan lanjut untuk HMB.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save