Adakah reseksi atau ablasi endometrium lebih berkesan, lebih selamat atau lebih boleh diterima berbanding laluan histerektomi yang berbeza?

Soalan ulasan

Ulasan ini membandingkan keberkesanan, keselamatan dan kebolehterimaan reseksi atau ablasi endometrium (EA/ER) berbanding laluan histerektomi yang berbeza untuk rawatan perdarahan haid yang berlebihan (HMB).

Latar belakang

Rawatan pembedahan untuk HMB termasuk: reseksi atau ablasi endometrium (pembuangan atau pemusnahan endometrium (lapisan dalam) rahim (rahim)) dan histerektomi (pembedahan pembuangan rahim). Histerektomi boleh dibuat melalui laluan yang berbeza: melalui pembedahan abdomen (terbuka), dengan prosedur invasif minimum yang boleh dibuat melalui faraj, atau melalui laparoskopi (pembedahan 'lubang kunci' yang melibatkan luka pembedahan yang sangat kecil pada abdomen) . Histerektomi berkesan menghentikan HMB secara kekal, tetapi ia menyekat kesuburan dan dikaitkan dengan risiko pembedahan major, termasuklah infeksi dan kehilangan darah. Reseksi/ablasi endometrium dilakukan melalui faraj dan serviks (pintu masuk ke rahim).

Tarikh carian

Pada Julai 2020, kami mencari kajian-kajian yang membandingkan reseksi/ablasi endometrium berbanding histerektomi untuk rawatan HMB. Kami sertakan 10 kajian melibatkan 1966 wanita..

Ciri-ciri kajian

Kami sertakan hanya kajian rawak terkawal (RCT; kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) membandingkan ablasi atau reseksi endometrium dan histerektomi sebagai rawatan untuk HMB. Kajian mengecualikan wanita yang telah melalui menopaus atau mempunyai kanser (atau prakanser) rahim.

Keputusan utama dan kesimpulan

Wanita dengan EA/ER kurang cenderung untuk pembaikan HMB dan lebih cenderung memerlukan pembedahan untuk kegagalan rawatan berbanding wanita dengan histerektomi terbuka. Mereka mungkin mempunyai kualiti hidup dan kadar kepuasan yang serupa, dan mungkin juga mempunyai kadar kesan sampingan serius yang serupa. Beberapa komplikasi yang jarang tetapi penting, seperti jangkitan dan perdarahan, adalah lebih lazim semasa histerektomi terbuka berbanding EA/ER.

Wanita dengan EA/ER mungkin mempunyai kadar yang sama dalam melihat pembaikan HMB, tetapi mungkin kurang cenderung mengalami penurunan kehilangan darah, berbanding wanita dengan histerektomi invasif minimum. Kumpulan EA/ER mungkin mempunyai kualiti hidup dan kadar kepuasan yang lebih rendah. Kadar kesan sampingan serius mungkin serupa tetapi wanita dengan EA/ER mungkin berisiko tinggi untuk pembedahan bagi kegagalan rawatan berbanding histerektomi invasif minimum. Masa yang diambil untuk wanita kembali kepada aktiviti normal adalah lebih pendek dengan EA/ER berbanding histerektomi invasif minimum.

Wanita dengan EA/ER mungkin kurang cenderung untuk pembaikan dalam HMB dan pembaikan dalam kesihatan umum berbanding wanita dengan histerektomi tidak spesifik (atau mengikut budi bicara pakar bedah). EA/ER mungkin meningkatkan peluang menjalani pembedahan untuk kegagalan rawatan, tetapi mengurangkan peluang sebarang kesan sampingan serius dan masa yang lebih singkat untuk kembali kepada aktiviti normal berbanding histerektomi melalui laluan tidak spesifik.

Mengenal pasti mudarat

Kedua-dua rawatan surgikal tersebut adalah selamat, dengan kadar komplikasi yang rendah. Tiada bukti jelas tentang perbezaan jumlah bilangan kesan sampingan serius di antara kedua-dua teknik pembedahan. Walau bagaimanapun, kedua-duan histerektomi terbuka dan laluan histerektomi yang tidak spesifik dikaitkan dengan kemungkinan komplikasi individu yang lebih tinggi seperti jangkitan dan perdarahan, manakala tiada perbezaan dalam hasil ini apabila EA/ER dibanding dengan histerektomi invasif minimum.

Kualiti bukti

Bukti yang dilapor dalam ulasan ini adalah dari kualiti yang sangat rendah hingga sederhana, yang menunjukkan penyelidikan lanjut mungkin mengubah keputusan. Walau bagaimanapun, walaupun kebanyakan bukti adalah sederhana, kami tidak fikir ini akan berubah dengan kajian lanjut. Ia adalah sederhana kerana risiko tinggi perbezaan antara kumpulan dalam penjagaan yang disediakan, dan dalam kes ini, pembutaan tidak dapat terlaksana kerana sifat-sifat prosedur.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information