Tampalan angioplasti berbanding penutupan utama untuk endarterektomi karotid

Mesej utama
Sebelas kajian yang melibatkan 2100 orang kini mencadangkan kemungkinan manfaat daripada menggunakan prosedur khas (angioplasti tampalan) selepas endarterektomi karotid.

Apakah itu endarterektomi karotid?
Kira-kira 20% strok berpunca daripada penyempitan arteri karotid (arteri utama yang membekalkan darah ke otak). Arteri karotid yang sempit boleh dirawat dengan prosedur pembedahan yang dikenali sebagai endarterektomi karotid, yang melibatkan pemotongan arteri terbuka dan penyingkiran bahan berlemak yang dipanggil plak. Ini melebarkan arteri dan seterusnya mengurangkan risiko strok. Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan kecil bahawa pembedahan itu sendiri boleh menyebabkan strok.

Apakah penutupan utama, dan apakah itu angioplasti tampalan?
Selepas mengeluarkan plak dari arteri, pakar bedah boleh menyatukan kedua-dua pinggir lubang dan menjahit untuk menutupnya (penutupan utama), atau boleh menutup lubang tersebut dengan tampalan, dengan menjahit pinggir lubang ke tepi tampalan untuk melebarkan lagi arteri (angioplasti tampalan). Tampalan itu boleh dibuat daripada bahan sintetik atau boleh menjadi kepingan urat pesakit itu sendiri.

Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada orang yang menjalani angioplasti tampalan selepas endarterektomi karotid – berbanding mereka yang menjalani penutupan utama – mempunyai kurang peluang untuk diserang strok atau mati dalam jangka masa pendek atau panjang selepas pembedahan, atau mempunyai kurang peluang untuk arteri mereka menyempit lagi, tanpa mengalami lebih banyak komplikasi sepanjang tempoh pembedahan.

Apa yang kami buat?
Kami mencari kajian yang membandingkan angioplasti tampalan dan penutupan utama pada orang yang mempunyai endarterektomi karotid. Kami membanding dan merumuskan keputusan tersebut, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?
Kami mendapati 11 kajian yang melibatkan 2100 peserta yang menjalani 2304 pembedahan endarterektomi karotid. Kajian-kajian ini telah dijalankan di seluruh dunia.

Keputusan utama
Angioplasti tampalan mengurangkan risiko strok dalam jangka pendek dan panjang selepas pembedahan berbanding penutupan utama. Angioplasti tampalan boleh mengurangkan risiko arteri tersumbat dan risiko pesakit diserang strok atau mati dalam jangka masa panjang.

Batasan utama bukti
Sesetengah kajian memantau peserta sehingga tempoh lima tahun, sementara yang lain berhenti memantau peserta selepas mereka meninggalkan hospital. Ini menjadikan kami tidak pasti tentang bukti.

Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information