Magnesium sulfat berbanding phenytoin untuk eklampsia

Bagi wanita dengan eklampsia, magnesium sulfat adalah lebih baik daripada phenytoin untuk mencegah sawan lanjutan dan masalah-masalah lain kesihatan wanita dan bayi-bayi mereka.

Antara dua hingga lapan dalam setiap 100 wanita hamil mendapat pra-eklampsia (toksemia), yang sering bermaksud mereka mempunyai tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing. Sesetengah wanita dengan pra-eklampsia juga akan mengalami sawan (fit), dan ini dipanggil eklampsia. Eklampsia adalah jarang: di negara-negara berpendapatan tinggi, dua hingga tiga dalam setiap 10,000 wanita hamil mengalami eklampsia, dan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana 16 hingga 69 dalam setiap 10,000 wanita hamil. Ia adalah satu keadaan yang penting kerana wantia dengan eklampsia berisiko tinggi untuk sakit teruk dan mati. Di seluruh dunia, lebih setengah juta wanita terkorban setiap tahun akibat komplikasi kehamilan dan kelahiran anak, dan 99% kematian adalah wanita di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Secara keseluruhannya, 15% kematian maternal adalah berkait dengan eklampsia.

Ulasan tujuh kajian yang melibatkan 972 wanita, mendapati magnesium sulfat adalah jauh lebih baik daripada phenytoin dalam mengurangkan risiko kematian maternal dan sawan lanjutan. Ia juga kelihatan lebih selamat untuk bayi. Ubat-ubatan lain (diazepam dan koktel lisis) juga telah dibandingkan dengan magnesium sulfat bagi wanita dengan eklampsia dalam ulasan-ulasan lain; magnesium sulfat juga adalah jauh lebih baik daripada ubat-ubat tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor’s University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi julieyeohh@gmail.com. Disunting oleh Noorliza mastura ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal.

Tools
Information