Rendaman dalam air dalam persalinan dan kelahiran

Apakah isunya?

Untuk menilai kesan rendaman dalam air (waterbirth) semasa persalinan dan/atau kelahiran (peringkat pertama, kedua dan ketiga persalinian) ke atas wanita dan bayi mereka.

Mengapa ini penting?

Ramai wanita memilih persalinan dan melahirkan dalam air (rendaman air) dan amalan ini semakin popular di banyak negara, terutamanya di unit-unit yang diterajui oleh bidan. Oleh itu, adalah penting untuk lebih memahami tentang manfaat rendaman air dalam persalinan dan kelahiran bagi wanita dan bayi-bayi mereka, dan sebarang risiko.

Adalah penting untuk menilai samada rendaman dalam air semasa peringkat pertama dan/atau kedua persalinan berpotensi untuk memaksimumkan keupayaan wanita untuk menguruskan sakit persalinan, dan untuk kelahiran normal tanpa meningkatkan risiko kejadian buruk (berbahaya). Kejadan-kejadian buruk mungkin meningkatkan risiko jangkitan bagi wanita dan/atau bayi baru lahir; peningkatan kemungkinan koyak yang serius di perineum (kawasan antara dubur dan vagina), dan ia mungkin anggaran kehilangan darah lebih sukar sekiranya berlaku perdarahan. Dalam menilai manfaat, kami mengambil kira kesejahteraan untuk melindungi kesihatan fizikal dan psikologi.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Kami memasukkan 15 kajian (3663 wanita). Semua kajian membandingkan rendaman dalam air dengan tiada rendaman dalam air: lapan kajian semasa peringkat pertama persalinan, dua semasa diperingkat kedua persalinan (‘waterbirth’) sahaja, empat semasa diperingkat pertama dan kedua proses persalinan dan satu kajian membandingkan rendaman air awal atau lewat semasa peringkat pertama persalinan. Bukti tersebut adalah berkualiti sederhana hingga sangat rendah. Tiada kajian yang membandingkan rendaman dalam air dengan lain-lain bentuk pengurusan sakit.

Rendaman air semasa peringkat pertama persalinan mungkin mengakibatkan kurang wanita untuk epidural, tetapi mungkin membuat perbezaan yang sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan wanita yang melahirkan normal, kelahiran instrumen, pembedahan caesarean atau koyak perineum yang serius. Kami tidak pasti mengenai kesan ke atas amaun kehilangan darah selepas kelahiran kerana kualiti bukti adalah sangat rendah. Persalinan dalam air juga mungkin membuat perbezaan yang sedikit atau tiada perbezaan ke atas bayi yang dimasukkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) atau mendapat jangkitan. Kematian bayi sewaktu lahir dan kematian bayi tidak dilaporkan.

Dua kajian membandingkan rendaman air semasa peringkat kedua (kelahiran) dengan tiada rendaman. Kami mendapati bahawa rendaman air mungkin membuat perbezaan yang sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan wanita yang mempunyai kelahiran normal. Adalah tidak pasti sama ada rendaman air membuat sebarang perbezaan kepada kelahiran vagina instrumen, pembedahan caesarean, bilangan bayi dimasukkan ke NICU, suhu bayi semasa lahir dan bayi demam semasa minggu pertama, kerana kualiti bukti sangat rendah untuk semua hasil tersebut. Epidural adalah tidak relevan untuk peringkat persalinan ini. Koyak perineum yang serius dan kehilangan darah selepas kelahiran tidak dilaporkan dalam kajian-kajian.

Hanya satu kajian (200 wanita) membandingkan wanita yang masuk ke dalam air awal dan lewat dalam persalinan tetapi tiada cukup maklumat untuk menunjukkan perbezaan yang jelas di antara kumpulan.

Apakah maksudnya

Persalinan dalam air mungkin mengurangkan jumlah wanita yang memerlukan epidural. Melahirkan dalam air tidak dilihat mempengaruhi cara kelahiran, atau bilangan wanita yang mendapat koyak perineum yang serius. Ulasan ini tidak mendapati bukti bahawa persalinan dalam air meningkatkan risiko hasil buruk untuk wanita atau bayii mereka. Kajian-kajian adalah berbeza dalam kualiti dan penyelidikan lanjut diperlukan terutamanya untuk persalinan dalam air dan penggunaannya dalam persekitaran kelahiran di wad persalinan di luar hospital sebelum kami lebih pasti tentang kesan-kesan tersebut. Penyelidikan juga diperlukan tentang pengalaman wanita dan penjaga bagi persalinan dan kelahiran dalam air.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai, RCSI & UCD Malaysia Campus (Formerly Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nila@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save