18F PET dengan florbetapir untuk diagnosis awal dementia penyakit Alzheimer dan dementia lain dalam kalangan orang yang mempunyai ketakmampuan kognitif ringan (MCI)

Soalan ulasan: Dalam kalangan orang dengan ketakmampuan kognitif ringan (MCI), adakah penggunaan imbasan PET 18F dengan florbetapir meramalkan progressi kepada dementia penyakit Alzheimer (ADD) dan dementia lain?

Latar belakang

Akibat penuaan global, bilangan orang dengan dementia dijangka meningkat secara dramatik dalam beberapa dekad akan datang. Mendiagnosis dementia pada tahap awal adalah wajar, tetapi tiada persetujuan meluas mengenai pendekatan terbaik. Pelbagai ujian pena dan kertas yang mudah digunakan oleh profesional penjagaan kesihatan dapat menilai orang dengan memori yang lemah atau ketakmampuan kognitif. Sama ada atau tidak menggunakan imbasan PET khas yang mengesan amyloid — salah satu ciri penyakit Alzheimer —memperbaiki keupayaan kami untuk meramalkan progressi dari MCI ke ADD atau bentuk dementia lain masih tidak jelas. Oleh kerana ujian-ujian ini mahal, adalah penting ia memberi manfaat tambahan.

Matlamat

Kami berhasrat untuk menilai ketepatan imbasan PET 18F-florbetapir dalam mengenal pasti orang dengan MCI yang secara klinikal progressi ke ADD, jenis dementia lain, atau sebarang bentuk dementia sepanjang tempoh masa tertentu.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2017. Kami mendapati tiga kajian yang memasuk 453 peserta dengan MCI. Dua kajian menilai progressiri dari MCI ke ADD dan satu kajian menilai progressi dari MCI kepada sebarang bentuk dementia.

Mengenai kedua-dua kajian yang menilai progressi dari MCI ke ADD, satu kajian mempunyai 401 peserta dengan susulan sehingga 1.6 tahun dan purata usia adalah 72 tahun. Kajian yang satu lagi mempunyai 47 peserta dengan susulan sehingga tiga tahun, dan purata usia adalah 72 tahun.

Kajian satu lagi yang melihat sebarang bentuk dementia memasukkan 5 peserta berusia lebih dari 90 tahun.

Dua kajian dibiayai oleh pengeluar ujian.

Kualiti bukti

Batasan utama ulasan ini ialah penemuan kami berdasarkan hanya kepada tiga kajian, dengan butiran yang tidak cukup mengenai cara orang-orang dipilih, sama ada maklumat dari imbasan itu dinilai secara berasingan daripada diagnosis akhir. Kajian-kajian tersebut dianggap berisiko tinggi kerana potensi konflik kepentingan dikesan.

Penemuan utama

Dalam ulasan ini, kami mendapati keputusan berikut berdasarkan tiga kajian tersebut.

Pada susulan 1.6 tahun, menggunakan penilaian visual, imbasan dengan betul telah mengklasifikasikan 89% peserta yang progressi kepada ADD tetapi hanya 58% peserta yang tidak progressi ke ADD. Ini bermakna dalam sekumpulan 100 orang dengan MCI, 15% daripadanya akan mendapat ADD, kami menjangkakan 13 dari 15 orang mempunyai keputusan yang positif dan 2 orang peserta yang lain adalah negatif. Juga, 49 orang yang tidak akan mendapat ADD akan mempunyai keputusan yang negatif, tetapi 36 orang yang tidak akan mendapat ADD akan mempunyai keputusan positif (positif palsu).

Dalam kajian yang menyusul orang selama tiga tahun dan menggunakan penilaian visual, imbasan dengan betul mengklasifikasikan 67% orang yang mendapat ADD dan 71% yang tidak progressi ke ADD. Ini bermakna dalam sekumpulan 100 orang dengan, 19 daripadanya akan mendapat ADD, kami menjangkakan 13 orang mempunyai keputusan imbasan positif dan 6 orang mempunyai keputusan yang negatif. Di samping itu, 58 daripada 81 peserta yang tidak akan mendapat ADD akan mempunyai keputusan yang negatif, tetapi 23 orang yang tidak akan mendapat ADD akan mempunyai keputusan positif (positif palsu). Jumlah peserta kecil yang dinilai pada tiga tahun menurunkan keyakinan kami terhadap ketepatan anggaran ini.

Mengenai progressi kepada sebarang bentuk dementia, bilangan peserta yang sangat kecil bermakna kami tidak dapat memberi ketepatan anggaran yang bermakna.

Kami menyimpulkan bahawa imbasan PET 18F-florbetapir tidak boleh disyorkan untuk kegunaan rutin dalam amalan klinikal untuk meramalkan progressi dari MCI ke ADD atau sebarang bentuk dementia berdasarkan data sedia ada masa kini. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menunjukkan ia berguna.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information