Apakah matlamat ulasan ini?
Kami berhasrat untuk mengetahui sama ada tacrolimus merupakan rawatan yang berkesan dan selamat untuk penghidap kolitis ulseratif yang sukar dirawat menggunakan cara lain.
Latar belakang
Kolitis ulseratif adalah penyakit radang usus kronik dengan ciri episod penyakit aktif yang berulang, yang biasanya menjejaskan rektum atau kolon atau kedua-duanya. Orang yang menghidapi penyakit aktif mungkin mengalami kekejangan perut, terdesak untuk membuang najis, dan cirit-birit berdarah. Orang dengan kolitis ulseratif biasa mendapati rawatan standard untuk penyakit aktif adalah tidak berkesan. Tacrolimus adalah ubat yang mengurangkan aktiviti sistem imun. Kami ingin mengetahui sama ada tacrolimus boleh membantu penghidap kolitis ulseratif yang mana rawatan lain tidak berkesan.
Beberapa jenis terapi telah digunakan untuk menguruskan kes-kes kolitis ulseratif yang sukar dan pada masa ini tiada persetujuan antara pengamal klinikal tentang terapi yang lebih membantu.
Apakah yang dikaji ulasan ini?
Dalam ulasan ini, kami meneliti data daripada lima kajian yang membandingkan tacrolimus dengan plasebo (rawatan dummy) dan dua ubat lain yang dikenali sebagai beclometasone dan ciclosporin.
Kami ingin melihat sama ada tacrolimus adalah lebih baik dalam menghentikan gejala kolitis ulseratif (mencapai remisi) atau memulihnya, dan jika ia selamat digunakan.
Mesej utama
Tacrolimus mungkin lebih baik daripada plasebo untuk menghentikan gejala atau memulihnya.
Tacrolimus mungkin tidak berbeza dengan beclometasone untuk menghentikan gejala atau memulihnya.
Terdapat sedikit data sahaja yang membandingkan tacrolimus dengan cyclosporin.
Sukar untuk mengetahui sama ada tacrolimus menyebabkan lebih banyak atau kurang kesan sampingan berbanding plasebo atau dua ubat lain kerana data sangat terhad.
Apakah hasil utama ulasan ini?
Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta dimasukkan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang membandingkan tacrolimus dengan sebarang rawatan lain (seperti rawatan plasebo) pada orang yang mengalami kes kolitis ulseratif yang sukar. Kami mendapati lima kajian yang melibatkan 344 peserta dan membuat kesimpulan berikut.
Terdapat bukti berkualiti rendah bahawa tacrolimus mungkin lebih baik daripada plasebo untuk menghentikan atau memulih gejala kolitis ulseratif.
Terdapat bukti berkualiti rendah bahawa tacrolimus mungkin tidak berbeza dengan beclometasone untuk menghentikan atau memulih gejala kolitis ulseratif.
Bukti adalah berkualiti sangat rendah tentang sama ada tacrolimus berbeza dengan cyclosporin untuk menghentikan atau memulih gejala kolitis ulseratif.
Bukti adalah berkualiti sangat rendah berkaitan sama ada tacrolimus menyebabkan lebih banyak atau kurang kesan sampingan berbanding plasebo atau dua ubat yang lain, kerana data adalah sangat terhad.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Ulasan ini adalah terkini sehingga Oktober 2021.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my