Soalan ulasan
Adakah pendidikan kesihatan diabetes sesuai budaya memberi hasil lebih baik berbanding 'penjagaan biasa’ bagi orang dalam kumpulan etnik minoriti dengan diabetes mellitus jenis 2?
Latar belakang
Di negara berpendapatan sederhana atas dan berpendapatan tinggi, prevalen diabetes mellitus jenis 2 sering lebih tinggi dalam kumpulan etnik minoriti berbanding penduduk tempatan. Mereka juga cenderung dari latar belakang sosioekonomi lebih rendah, dan sukar untuk mengakses penjagaan kesihatan yang berkualiti. Dalam sesetengah kes, halangan budaya dan komunikasi meningkatkan masalah yang dialami oleh komuniti etnik minoriti ketika cuba mengakses pendidikan kesihatan diabetes yang berkualiti, di mana ianya penting bagi mereka yang ingin memahami diabetes dan mengguna perkhidmatan sedia ada untuk pemerkasaan dan membuat perubahan tingkah laku ke arah gaya hidup lebih sihat. Dalam ulasan ini, pendidikan kesihatan sesuai budaya bermaksud sebarang jenis pendidikan kesihatan yang spesifik untuk keperluan budaya kumpulan minoriti sasaran dengan diabetes mellitus jenis 2.
Ciri-ciri kajian
Ulasan kemas kini ini mendapatii 33 kajian rawak terkawal (RCT) dalam kesusasteraan dunia pendidikan kesihatan sesuai budaya tentang diabetes yang memenuhi kriteria pemilihan (para peserta adalah dari golongan etnik minoriti tertentu yang tinggal di negara berpendapatan sederhana atas atau berpendapatan tinggi, berusia lebih 16 tahun, didiagnosis dengan diabetes mellitus jenis 2 dan menerima intervensi pendidikan kesihatan yang sesuai budaya). Tempoh median intervensi adalah enam bulan, dan sejumlah 7453 peserta terlibat dalam kajian-kajian tersebut.
Keputusan utama
Pendidikan kesihatan sesuai budaya memperbaik kawalan gula darah dalam kalangan peserta, berbanding mereka yang menerima penjagaan kesihatan biasa, pada tiga, enam, 12 dan 24 bulan selepas intervensi diberi. Pengetahuan tentang diabetes bertambah baik, dan peserta mengamal gaya hidup lebih sihat. Tiada maklumat tentang komplikasi diabetes dan kematian akibat sebarang punca, dan umumnya terdapat kekurangan pelaporan kesan buruk dalam kebanyakan kajian. Kesan neutral dilihat untuk kualiti hidup yang berkait dengan kesihatan, lipid darah seperti kolesterol, tekanan darah dan berat badan. Kos program pendidikan jarang dianalisis. Berbanding ulasan pertama, yang dibuat pada 2008 (11 kajian), lebih banyak kajian-kajian yang diterbitkan dikenal pasti dalam ulasan ini (kesemuanya 33 kajian), memperkukuh penemuan asal kawalan gula darah dan pengetahuan tentang diabetes bertambah baik apabila pendidikan kesihatan sesuai budaya diberi kepada orang dari golongan etnik minoriti yang di diagnosis dengan diabetes. Kesan dari kemaskini ini adalah lebih lama - sehingga 24 bulan selepas pendidikan kesihatan diberi dalam beberapa kajian. Walau bagaimanapun, lebih banyak RCT berkualiti tinggi standard dengan jangka masa lebih panjang diperlukan, termasuk penilaian penuh kos.
Kualiti bukti
Kepelbagaian kajian, dari segi populasi yang dikaji, jenis dan tempoh pendidikan kesihatan yang diberi, pelbagai hasil yang diukur dan perbezaan masa penilaian, membatasi tafsiran penemuan kami. Juga, risiko bias dinilai tinggi untuk kebanyakkan hasil.
Status bukti
Bukti ini adalah terkini sehingga September 2013.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (Universti Perubatan Antarabangsa). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).