Langkau ke kandungan utama

Mencegah salah laku dan mempromosikan integriti dalam penyelidikan dan penerbitan

Doktor dan pesakit perlu mempercayai laporan penyelidikan perubatan kerana ini digunakan untuk membantu mereka membuat keputusan mengenai rawatan. Oleh itu, adalah penting untuk mencegah penyelidikan palsu atau mengelirukan. Masalah dalam penyelidikan termasuk pelbagai jenis salah laku seperti mengubah hasil (pemalsuan), mereka-reka hasil (fabrikasi) atau menyalin hasil kerja orang yang lain (plagiarisme). Sistem yang baik yang menghasilkan penyelidikan yang boleh dipercayai dikatakan menunjukkan 'integriti penyelidik'. Kami mengkaji aktiviti seperti latihan yang direka untuk mengurangkan salah laku penyelidikan dan menggalakkan integriti. Kesan beberapa aktiviti ini terhadap sikap, pengetahuan, dan tingkah laku penyelidik telah dikaji, dan kami mengumpulkan bukti daripada kajian-kajian ini.

Beberapa kajian menunjukkan kesan positif terhadap sikap penyelidik terhadap plagiarisme. Latihan praktikal, seperti menggunakan program komputer yang boleh mengesan plagiarisme, atau latihan menulis, kadangkala mengurangkan plagiarisme oleh pelajar tetapi tidak semua kajian menunjukkan kesan positif. Kami tidak menemui sebarang kajian mengenai fabrikasi atau pemalsuan. Dua kajian menunjukkan bahawa cara jurnal meminta penulis memberikan butiran tentang siapa yang melakukan setiap bahagian kajian boleh mempengaruhi jawapan mereka.

Banyak kajian yang disertakan dalam ulasan ini mempunyai masalah seperti saiz sampel yang kecil atau telah menggunakan kaedah yang mungkin menghasilkan keputusan yang berat sebelah. Kaedah latihan yang diuji dalam kajian (yang merangkumi kursus dalam talian, kuliah dan kumpulan perbincangan) sering kali tidak diterangkan dengan jelas. Kebanyakan kajian menguji kesan dalam tempoh masa yang singkat. Banyak kajian melibatkan pelajar universiti dan bukannya para penyelidik yang aktif.

Secara ringkas, bukti yang tersedia adalah berkualiti sangat rendah, jadi kesan sebarang intervensi untuk mencegah salah laku dan mempromosikan integriti dalam penyelidikan dan penerbitan adalah tidak pasti. Walau bagaimanapun, latihan praktikal tentang cara mengelakkan plagiarisme mungkin berkesan dalam mengurangkan plagiarisme oleh pelajar, walaupun kita tidak tahu sama ada ia mempunyai kesan jangka panjang.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Siew Lian. Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Petikan
Marusic A, Wager E, Utrobicic A, Rothstein HR, Sambunjak D. Interventions to prevent misconduct and promote integrity in research and publication. Cochrane Database of Systematic Reviews 2016, Issue 4. Art. No.: MR000038. DOI: 10.1002/14651858.MR000038.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan