Ramai orang yang mengalami penyakit mental serius skizofrenia menghisap Kanabis tetapi tidak diketahui mengapa mereka melakukannya atau kesan-kesan menghisap Kanabis. Adalah tidak jelas apakah kaedah terbaik yang membantu orang untuk mengurangkan atau berhenti menghisap Kanabis. Kanabis adalah dadah haram yang paling banyak digunakan di dunia - sebanyak 120 hingga 224 juta pengguna. Kanabis, yang biasanya dihisap atau dimakan, memberikan rasa kesejahteraan, tetapi pada dos yang tinggi ianya juga boleh mengakibatkan penyakit mental atau psikosis. Bukti klinikal menunjukkan orang yang mengalami skizofrenia mempunyai hasil keseluruhan yang lebih teruk daripada penggunaan Kanabis, namun, terdapat sesetengah orang dengan skizofrenia yang mendakwa bahawa penggunaaan ganja membantu gejala mereka dan mengurangkan kesan sampingan ubat antipsikotik. Ulasan ini bertujuan untuk melihat kesan Kanabis, mengenai kedua-dua penggunaan dan pemberhentiannya, di kalangan orang yang mempunyai skizofrenia. Pencarian kajian telah dijalankan pada tahun 2013, yang mana lapan kajian rawak, yang melibatkan 530 peserta telah disertakan. Lima kajian telah menyiasat kesan penggunaan psikoterapi khusus yang bertujuan untuk mengurangkan pengambilan Kanabis, dua kajian menyiasat kesan ubat antipsikotik untuk pengurangan Kanabis dan satu kajian menyiasat penggunaan cannabidiol (sebatian yang ditemui dalam Kanabis) sebagai rawatan untuk gejala skizofrenia.
Keputusan ulasan adalah terhad kerana saiz kajian yang kecil dan data yang dilaporkan dengan kurang baik.
Secara keseluruhannya, pada masa ini tidak ada bukti untuk sebarang intervensi, sama ada terapi psikologikal atau ubatan, yang lebih baik daripada rawatan standard atau satu sama lain dalam mengurangkan atau menghentikan penggunaan Kanabis. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk meneroka faedah ubatan atau terapi psikologi bagi mereka dengan skizofrenia yang menggunakan Kanabis. Adalah tidak jelas jika cannabidiol mempunyai kesan antipsikotik.
Ben Gray, Pakar Pengguna Perkhidmatan, Rethink Mental Illness.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).