Faktor apa yang mempengaruhi keputusan seseorang untuk mengambil bahagian dalam percubaan secara rawak atau tidak?

Apakah matlamat ulasan ini?

Percubaan secara rawak diperlukan untuk memahami jika dan bagaimana intervensi penjagaan kesihatan yang berbeza (seperti ubat-ubatan, jenis pembedahan, aktiviti promosi kesihatan, dll.) berfungsi atau tidak. Menarik orang untuk mengambil bahagian dalam kajian boleh menjadi sukar dan jika tidak cukup orang yang menyertainya, maka ujian tidak akan memberikan maklumat yang ditetapkannya. Dengan mengetahui lebih lanjut mengenai apa yang mempengaruhi keputusan seseorang untuk mengambil bahagian dalam percubaan, kami dapat memberikan nasihat tentang cara terbaik untuk menarik orang menyertai percubaan.

Untuk menjawab soalan ini, kami mengumpulkan hasil penemuan 29 kajian yang melaporkan pandangan dan pengalaman orang yang telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam percubaan secara rawak.

Mesej utama

Beberapa faktor mempengaruhi keputusan seseorang untuk mengambil bahagian dalam kajian termasuk: bagaimana kajian tersebut dirancang dan disampaikan; keadaan peribadi mereka sendiri; dan potensi faedah penyertaan. Adalah penting bagi mereka yang bekerja dalam kajian untuk mempertimbangkan faktor-faktor ini semasa mengajak orang untuk turut serta. Adalah penting untuk perkara ini dilakukan dengan cara yang mengambil maklum bahawa semua orang adalah berbeza dan mungkin mempertimbangkan kajian tersebut dengan cara yang berbeza.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Kami mencari kajian yang meneliti pandangan mereka yang telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam kajian rawak. Kami memasukkan kajian dengan orang-orang yang telah bersetuju untuk mengambil bahagian dan juga mereka yang telah memutuskan untuk tidak mengambil bahagian. Kami meli kajian yang diterbitkan sejak awal tahun 2000.

Pencarian kami mengenal pasti 29 kajian (diterbitkan dalam 30 makalah) untuk disertakan dalam ulasan ini. Enam belas kajian dilakukan di UK, enam di negara Eropah lain, tiga di AS, masing-masing satu di Kanada, Australia, New Zealand dan Tanzania. Percubaan yang orang telah dijemput untuk mengambil bahagian adalah untuk barah (n = 7); kehamilan dan kelahiran anak (n = 5); perubatan dan pembedahan (n = 11); kesihatan mental (n = 2); dan promosi kesihatan (n = 4).

Ulasan kami menunjukkan tiga faktor utama yang mempengaruhi sama ada calon peserta bersetuju untuk mengambil bahagian dalam kajian atau tidak. Kami memutuskan bahawa penemuan-penemuan berikut mempunyai tahap keyakinan sederhana hingga tinggi.

Apakah penemuan-penemuan utama?

Orang lebih suka dijemput dalam suasana bersemuka, dengan maklumat disampaikan dengan jelas. Maklumat secara bertulis juga berguna. Masa jemputan adalah penting kerana calon peserta mungkin sukar untuk mengenali penjagaan yang biasanya mereka terima dan penjagaan yang akan diberikan sebagai sebahagian daripada percubaan.

Komitmen terhadap percubaan dapat membuat orang ramai bimbang untuk turut serta. Ada yang percaya bahawa temu janji tambahan dan masa yang terlibat akan menjadi suatu bebanan. Kadang-kadang orang ramai ditawarkan wang sebagai suatu cara untuk membalas komitmen mereka. Pembayaran disambut baik oleh beberapa pihak, tetapi tidak dilihat sebagai faktor yang sangat penting yang mempengaruhi keputusan mereka.

Sekiranya seseorang berasa sihat, mereka mungkin tidak ingin mempertaruhkan kesihatannya dengan mengambil bahagian dalam percubaan. Namun, jika seseorang berasa tidak sihat, mereka mungkin tidak mahu mengambil risiko untuk memperburuk kesihatan mereka. Sebaliknya, seseorang yang sihat atau sangat sakit mungkin berasa mereka "tidak rugi" dengan mengambil bahagian dalam percubaan, jadi hal ini bukan hanya tentang seberapa sihat seseorang itu tetapi bagaimana perasaan mereka terhadap kesihatan mereka sendiri.

Juga, doktor atau jururawat seseorang itu boleh mengatakan sesuatu yang mempengaruhi keputusan mereka, seperti juga yang diperkatakan oleh keluarga, rakan atau media. Adalah penting bagi orang-orang yang merekrut seseorang untuk mengetahui siapa yang mempunyai pengaruh ketika orang itu membuat keputusan mereka.

Orang ramai dipengaruhi oleh peluang peningkatan, peluang untuk berasa lebih baik jika terapi atau rawatan berfungsi, atau peluang untuk membuat perbezaan dengan menolong orang lain pada masa depan.

Menjemput orang ramai untuk ikut serta dalam percubaan harus dilakukan dengan cara yang mempertimbangkan setiap orang secara individu, kerana tidak ada "satu ukuran yang sesuai untuk semua" ketika membuat keputusan ini.

Adakah ulasan ini terkini?

Ulasan ini menyertakan kajian yang diterbitkan sehingga 1 Jun 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save