Bolehkah kakitangan kesihatan bukan profesional mengenal pasti dan merawat susut badan dalam kalangan kanak-kanak dengan berkesan?

Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk menyiasat perbandingan keberkesanan antara kakitangan kesihatan bukan profesional dengan kakitangan perubatan profesional dari segi pengenalpastian dan perawatan kanak-kanak yang menghidap kesusutan badan.

Mesej utama

Keputusan ulasan ini mencadangkan bahawa kanak-kanak yang menerima penjagaan daripada pekerja kesihatan awam untuk kesusutan badan teruk mungkin mempunyai keputusan yang sama atau lebih buruk daripada kanak-kanak yang menerima penjagaan daripada profesional kesihatan.

Apakah itu susut badan?

Kesusutan badan dalam kalangan kanak-kanak merujuk kepada keadaan kanak-kanak yang terlampau kurus untuk ketinggian mereka. Kesusutan berlaku apabila kanak-kanak tidak mempunyai makanan yang mencukupi atau makanan bergizi yang mencukupi, atau sedang menghidap penyakit. Kanak-kanak yang mengalami kesusutan badan didapati lebih sering sakit, mengalami masalah perkembangan, dan berisiko lebih tinggi untuk mati, terutamanya apabila menghidap kesusutan badan yang teruk. Berjuta-juta kanak-kanak mengalami kesusutan badan, dan kebanyakan pesakit ini berasal dari negara yang miskin.

Penyelesaian terbaik untuk masalah ini adalah untuk mencegah berlakunya kesusutan badan. Apabila ini tidak mungkin, adalah penting untuk mengenal pasti dan merawat kanak-kanak yang sedang menghidap kesusutan badan secepat mungkin. Walau bagaimanapun, rawatan boleh mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan, dan mungkin sukar atau mahal bagi keluarga untuk memperoleh rawatan. Akibatnya, ramai kanak-kanak tidak mendapat bantuan yang mereka perlukan.

Siapakah itu kakitangan kesihatan bukan profesional?

Salah satu cara untuk mempermudah akses kanak-kanak kepada rawatan adalah dengan menggunakan perkhidmatan kakitangan kesihatan bukan profesional. Kakitangan kesihatan bukan profesional ialah ahli masyarakat yang telah menerima latihan untuk menjalankan perkhidmatan penjagaan kesihatan tertentu tetapi mereka bukan pengamal perubatan profesional. Penyelidikan menunjukkan bahawa kakitangan kesihatan bukan profesional berguna dalam beberapa intervensi kesihatan, seperti penggalakan pemberian susu badan dan vaksinasi kanak-kanak.

Apakah yang kami ingin tahu?

Dalam ulasan ini, kami ingin mengetahui sama ada kakitangan kesihatan bukan profesional dapat mengenal pasti dan merawat kesusutan tahap sederhana hingga teruk dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun dengan berkesan. Kami mencari kajian yang menilai keberkesanan penggunaan khidmat kakitangan kesihatan bukan profesional di peringkat masyarakat umum berbanding pengamal perubatan profesional yang bekerja di kemudahan kesihatan.

Apa yang telah kami temui?

Kami menyertakan tujuh buah kajian dalam ulasan ini. Enam kajian adalah dari negara di benua Afrika, dan satu lagi kajian di Pakistan. Enam kajian termasuk kanak-kanak dengan susut badan yang teruk, dan satu termasuk kanak-kanak dengan susut badan sederhana. Dalam beberapa kajian, kakitangan kesihatan bukan profesional mengenal pasti kanak-kanak yang mengalami susut badan dan kemudiannya merujuk mereka ke klinik untuk rawatan. Dalam kajian-kajian lain, kakitangan kesihatan bukan profesional juga merawat kanak-kanak terbabit.

Semua kajian membandingkan keberkesanan kakitangan kesihatan bukan profesional dengan pengamal perubatan profesional. Tiada kajian yang melibatkan kanak-kanak bawah 6 bulan.

Keputusan utama

Pengenalpastian dan perujukan kanak-kanak yang menghidap susut badan oleh kakitangan kesihatan bukan profesional, jika dibandingkan dengan rawatan oleh profesional kesihatan selepas rujukan mandiri, mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan kanak-kanak yang pulih daripada susut badan tahap sederhana atau teruk.

Pengenalpastian dan rawatan kanak-kanak yang mengalami susut badan teruk oleh pekerja kesihatan bukan profesional, jika dibandingkan dengan rawatan yang diberikan oleh pengmal perubatan profesional selepas pengesanan dan rujukan oleh pekerja kesihatan bukan profesional:

• mungkin mengurangkan gerakbalas terhadap rawatan (kurang 60 orang kanak-kanak bagi setiap 1000 dari segi gerakbalas terhadap rawatan);
• mungkin mempunyai sedikit ataupun tiada kesan ke atas bilangan kanak-kanak yang berjaya naik berat badan;
• mungkin mempunyai sedikit ataupun tiada kesan ke atas jumlah berat badan yang ditambah;
• mungkin mempunyai sedikit ataupun tiada kesan ke atas bilangan kanak-kanak yang mengalami susut badan kambuh;
• mungkin mempunyai sedikit ataupun tiada kesan ke atas bilangan kanak-kanak yang terpaksa dirawat inap;
• mungkin mempunyai sedikit ataupun tiada kesan ke atas bilangan kanak-kanak yang cicir rawatan; dan
• mungkin mempunyai sedikit ataupun tiada kesan ke atas bilangan kanak-kanak yang mati.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami mencari semua kajian yang telah diterbitkan setakat 24 September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information