Intervensi untuk mengurangkan risiko jangkitan coronavirus SARS-CoV-2 (sindrom pernafasan akut teruk coronavirus-2) di kalangan pekerja di luar tetapan penjagaan kesihatan

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Apakah matlamat utama ulasan ini?

Coronavirus (COVID-19) adalah penyakit respiratori berjangkit yang telah merebak ke seluruh dunia. Orang yang dijangkiti SARS-CoV-2 (sindrom pernafasan akut teruk coronavirus-2) boleh menghidap penyakit kritikal dan menyebabkan kematian, terutamanya orang tua, dan individu yang mempunyai masalah perubatan sebelumnya. Intervensi berbeza yang cuba menghalang atau mengurangkan pendedahan pekerja kepada SARS-CoV-2 di tempat kerja telah dilaksanakan semasa pandemik. Ulasan Cochrane ini menilai kesan intervensi ini pada kadar jangkitan COVID-19, ketidakhadiran, kematian berkaitan COVID-19 dan kejadian buruk.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Kami mencari kajian yang mengkaji intervensi mengikut empat kategori berikut: 1) penghapusan (contohnya strategi pengasingan diri); 2) kawalan kejuruteraan (contohnya halangan untuk memisahkan atau menjauhkan rakan sekerja, dan pekerja daripada orang awam); 3) kawalan pentadbiran (contohnya bekerja dari rumah); 4) peralatan perlindungan diri (contohnya penggunaan topeng muka atau jenis penutup muka lain). Kami menyertakan kajian ke atas mana-mana pekerja di luar persekitaran penjagaan kesihatan. Kami mencari kajian tanpa sekatan bahasa atau masa.

Apakah penemuan utama ulasan ini?

Kami menyaring lebih daripada 13 ribu laporan, dan termasuk satu kajian, yang dijalankan di 162 sekolah menengah dan pasca menengah di England, dari Mac hingga Jun 2021. Kajian itu melibatkan lebih daripada 24 ribu pekerja. 86 sekolah di dalam kumpulan kawalan (pengasingan standard), kakitangan yang dianggap sebagai kontak COVID-19 melalui pengesanan kontak dikehendaki mengasingkan diri di rumah selama 10 hari. 76 sekolah dalam kumpulan kawalan (pengasingan standard), kakitangan yang dianggap sebagai kontak COVID-19 melalui pengesanan kontak tidak dikehendaki untuk mengasingkan diri. Sebaliknya, mereka mengambil ujian pantas harian (ujian antigen aliran sisi) selama tujuh hari. Jika ujian pantas negatif, kakitangan boleh pergi bekerja. Sekiranya ujian pantas itu positif, kakitangan akan mengasingkan diri. Para penyelidik ingin mengetahui sama ada terdapat perbezaan dalam ketiadaan berkaitan COVID antara kedua-dua kaedah.

Kami tidak pasti sama ada strategi kehadiran berasaskan ujian mengubah kadar jangkitan COVID-19 (sebarang jangkitan; jangkitan bergejala) berbanding dengan pengasingan rutin selepas kontak dengan seseorang yang mempunyai COVID-19. Ketidakhadiran berkaitan COVID mungkin lebih rendah atau serupa dalam kumpulan kehadiran berasaskan ujian. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti tentang penemuan ini, kerana bilangan jangkitan adalah sangat rendah di kalangan peserta. Kematian, kejadian buruk, kualiti hidup, dan kemasukan ke hospital tidak diukur. Tujuh puluh satu peratus daripada kumpulan kehadiran berasaskan ujian mengikuti strategi itu; penyelidik tidak melaporkan pematuhan dalam kumpulan pengasingan standard.

Kami mengenal pasti satu kajian berterusan yang turut menangani kesan saringan di sekolah.

Satu lagi kajian berterusan sedang menilai kesan penggunaan pelindung muka untuk mencegah penularan COVID-19.

Kami tidak menemui sebarang kajian yang mengkaji kejuruteraan atau kawalan pentadbiran.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga 14 September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my