Mesej-mesej utama
Antiplatelet adalah sekumpulan ubat yang berbeza yang boleh mencegah pembentukan gumpalan darah yang berpotensi membawa maut dalam saluran darah ('kejadian trombotik'). Bagi pesakit yang dirawat di hospital dengan COVID-19, ubatan ini mungkin mengurangkan sedikit kejadian trombotik tetapi mungkin tidak mempengaruhi kematian, kemerosotan klinikal atau penambahbaikan dalam COVID-19 berbanding dengan plasebo atau penjagaan piawai.
Walau bagaimanapun, antiplatelet mungkin boleh mengakibatkan sedikit peningkatan kesan tidak diingini yang serius ('kejadian buruk') dan mungkin meningkatkan pendarahan besar.
Begitu juga, pada orang yang tidak dirawat di hospital, antiplatelet mengurangkan sedikit kejadian trombotik. Ubatan ini boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian atau kesan tidak diingini yang serius, namun kepastian pada bukti bagi kemasukan ke hospital atau kematian dan kejadian pendarahan besar adalah sangat tidak pasti.
Terdapat 14 kajian lanjut yang belum selesai, dan hasil tiga kajian lain yang lengkap tetapi belum tersedia.
Apakah itu antiplatelet?
Antiplatelet adalah sekumpulan ubat yang, dengan cara yang berbeza, menghentikan darah daripada berubah menjadi bahan seperti gel yang dipanggil sebagai gumpalan, yang kami maksudkan dengan istilah 'kejadian trombotik'. Ubatan ini diambil terutamanya melalui mulut, kebiasannya oleh orang yang berisiko tinggi berlakunya gumpalan darah (orang yang telah mengalami atau yang cenderung terjadinya gumpalan).
Gumpalan darah boleh menyebabkan angin ahmar, penyakit jantung koronari, peredaran darah yang lemah di kaki, trombosis di kaki atau penyumbatan gumpalan ('embolisme') dalam peredaran paru-paru yang boleh menyebabkan sesak nafas, kegagalan jantung dan kematian.
Bagaimanakah antiplatelet dapat merawat COVID-19?
Orang dengan COVID-19 mungkin berisiko akibat pembekuan darah. Antiplatelet menghalang gumpalan darah daripada terbentuk di dalam badan, dan ini seterusnya dapat mencegah komplikasi yang menyebabkan kematian dan kemerosotan klinikal.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin tahu sama ada antiplatelet, sebagai tambahan kepada penjagaan biasa, adalah berkesan untuk penghidap COVID-19 jika dibandingkan dengan penjagaan biasa dengan atau tanpa plasebo (rawatan yang kelihatan dan mempunyai rasa yang sama dengan ubat kajian tetapi tanpa ramuan aktif), dan sama ada ianya menyebabkan kesan yang tidak diingini. Kami sangat berminat dalam:
• bilangan kematian akibat sebarang sebab sehingga 28 hari selepas rawatan, atau lebih lama jika dilaporkan;
- sama ada orang menjadi lebih baik atau lebih teruk selepas rawatan (termasuk kesan yang tidak diingini dari penyakit itu sendiri, seperti kejadian trombotik);
- kesan rawatan yang tidak diingini (terutamanya pendarahan besar).
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang melaporkan tentang orang yang mempunyai COVID-19 yang menerima antiplatelet bersama-sama dengan penjagaan biasa, atau penjagaan biasa sahaja (dengan/tanpa plasebo). Kami merumuskan hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan kriteria umum tentang kebolehpercayaan bukti.
Apakah yang kami temui?
Kami mengenalpasti empat kajian, yang merangkumi 17,541 orang dengan COVID-19 sederhana hingga teruk (dimasukkan ke hospital). Daripada jumlah ini, satu kajian membandingkan asid asetilsalisilik (aspirin) dengan penjagaan biasa, dua kajian membandingkan 'perencat P2Y12' (contohnya clopidogrel, prasugrel, ticagrelor) dengan penjagaan biasa, dan yang keempat membandingkan asid asetilsalisilik atau perencat P2Y12 dengan penjagaan biasa. Kajian-kajian ini menyertakan orang dengan diagnosis jangkitan SARS-CoV-2 yang telah disahkan atau disyaki. Dua kajian membandingkan asid acetilsalisilik dengan plasebo pada 4209 orang yang tidak dirawat di hospital dengan COVID-19 ringan yang disahkan.
Kami juga mendapati 14 kajian berterusan, dua kajian tanpa keputusan yang diterbitkan dan satu lagi yang telah ditarik balik selepas versi pracetak. Kami tidak menemui kajian yang menyertakan orang dengan jangkitan COVID-19 tetapi tidak ada gejala.
Keputusan utama
Antiplatelet:
- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kematian sehingga 28 atau 180 hari, bertambah buruk sehingga hari ke-28 (pengudaraan mekanikal invasif baru atau kematian) atau penambah baikan (discaj hidup) sehingga hari ke-28, dan mungkin mengurangkan sedikit kejadian trombotik;
- mungkin boleh mengakibatkan sedikit peningkatan kesan yang tidak diingini yang serius dan mungkin meningkatkan kejadian pendarahan besar.
Pada orang yang tidak berada di hospital, dengan penyakit ringan, antiplatelet mungkin boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan pada kematian dalam masa 45 hari, atau dalam berlakunya kejadian buruk yang serius, dan ubatan ini mungkin boleh mengurangkan sedikit kejadian trombotik. Bukti untuk peserta-peserta ini adalah sangat tidak pasti mengenai kesan yang semakin teruk (kemasukan ke hospital atau kematian dalam masa 45 hari) dan kejadian pendarahan besar. Kajian-kajian ini tidak melaporkan kualiti hidup dan kesan yang tidak diingini secara umum.
Apakah batasan bukti?
Kajian-kajian ini dijalankan pada populasi dari negara-negara berpendapatan tinggi hingga sederhana, kebanyakannya sebelum pelancaran program vaksinasi COVID-19 dan sebelum Omicron menjadi varian yang paling lazim. Kami mempunyai keyakinan sederhana terhadap bukti kematian, semakin teruk/penambah baikan sehingga hari ke-28, dan kejadian pendarahan besar atau kejadian trombotik pada orang yang dirawat di hospital. Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti berkenaan kesan yang tidak diingini yang serius, kerana ianya jarang berlaku. Bagi orang yang tidak dimasukkan ke hospital, keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah untuk kesan terhadap kematian, kejadian trombotik dan kejadian buruk yang serius, dan sangat rendah untuk kesan berkenaan kejadian semakin teruk dan kejadian pendarahan besar (kejadian tersebut jarang berlaku dan tempoh masa antara permulaan gejala dan rawatan adalah panjang). Maklumat mengenai kesan yang lain yang tidak diingini dan kualiti hidup tidak tersedia.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga 22 Disember 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).