Sejauh manakah opioid sistemik berkesan dan selamat untuk mengawal dan mengurus kesakitan selepas pembedahan pada neonat?

Soalan Ulasan

Sejauh manakah opioid sistemik berkesan dan selamat untuk mengurangkan kesakitan bayi baru lahir selepas pembedahan?

Latar belakang

Neonat (bayi dalam empat minggu pertama selepas kelahiran) mungkin menjalani pembedahan (operasi) atau prosedur pembedahan. Seperti orang dewasa, bayi mengalami kesakitan, dan kesakitan ini mesti diuruskan (dikurangkan) selepas pembedahan. Opioid adalah ubat yang melegakan kesakitan. Contoh opioid adalah kodin dan morfin. Opioid berfungsi dengan berinteraksi dengan reseptor opioid dalam badan dan mengurangkan kesakitan.

Opioid menjejaskan seluruh sistem badan dan inilah sebabnya ulasan ini merujuk kepadanya sebagai opioid sistemik. Opioid boleh diberikan kepada bayi dalam beberapa cara, melalui laluan yang berbeza. Satu laluan adalah dengan menggunakan jarum yang disuntik ke dalam vena; ini dipanggil pemberian ubat parenteral. Cara lain (atau laluan) ialah meletakkan ubat di dalam mulut bayi, di bawah lidah atau dengan tiub. Jenis penghantaran ubat ini dipanggil pemberian enteral. Opioid, seperti kebanyakan ubat, boleh diberikan pada kekuatan yang berbeza (dos). Opioid boleh diberikan secara berterusan (tanpa henti), atau tidak berterusan dalam tempoh masa (selang-seli).

Semua perkara ini bersama-sama, bagaimana opioid diberikan kepada bayi, kekerapan opioid diberikan, dan kekuatan opioid, menghasilkan apa yang dipanggil rejimen ubat.

Ulasan ini bertujuan untuk menilai bagaimana rejimen opioid yang berbeza mempengaruhi bayi.

Keputusan utama

Ulasan ini memasukkan tujuh kajian yang melibatkan 504 bayi. Kami mengenal pasti tiada kajian yang membandingkan dos yang berbeza bagi opioid yang sama. Kami mengenal pasti tiada kajian yang membandingkan laluan berbeza untuk penghantaran opioid. Enam kajian membandingkan pemberian opioid berterusan berbanding pemberian opioid berselang-seli. Satu kajian menilai penggunaan infusi morfin berterusan berbanding dengan pemberian terkawal oleh ibu bapa atau jururawat.

Berdasarkan kajian yang kami temui bahawa kami tidak dapat menentukan sama ada rejimen opioid berterusan atau berselang-seli adalah lebih baik untuk mengawal kesakitan bayi. Oleh sebab kami tidak menemui kajian yang membandingkan dos opioid yang berbeza, kami tidak tahu dos mana yang lebih baik untuk mengurangkan kesakitan bayi. Oleh kerana kami tidak menemui kajian yang membandingkan laluan pemberian opioid yang berbeza, kami tidak tahu sama ada parenteral lebih baik daripada enteral untuk mengurangkan kesakitan bayi. Memandangkan badan penulisan yang dinilai, keberkesanan infusi opioid sistemik berterusan berbanding dengan pemberian opioid sistemik berselang-seli masih tidak dapat ditentukan. Kami tidak pasti tentang keberkesanan pemberian opioid sistemik berterusan dan pemberian opioid berselang-seli dalam mengurangkan kesakitan.
Kami telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga 10 Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information