Ubat berasaskan ganja untuk sakit kanser

Adakah ubat berasaskan ganja membantu orang dewasa yang mengalami sakit kanser?

Mesej utama

Ubat berasaskan ganja (CbMs) tidak melegakan kesakitan kanser yang tidak bertindak balas terhadap ubat seperti morfin.

Kajian yang dianalisis tidak membenarkan sebarang kenyataan dibuat mengenai tempat ubat-ubatan ini di tangga analgesik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk sakit kanser.

Kajian dengan CbM dalam kanser perlu direka bentuk lebih baik daripada yang telah dijalankan setakat ini.

Sakit kanser dan rawatannya

Satu dalam dua atau tiga orang yang mendapat kanser akan mengalami sakit yang bersifat sederhana atau teruk. Kesakitan akan menjadi lebih teruk apabila kanser merebak.

WHO mengesyorkan ubat seperti morfin untuk kesakitan sederhana hingga teruk akibat kanser, tetapi 1 dalam 6 hingga 10 orang yang mengalami sakit kanser tidak mengalami kelegaan sakit yang mencukupi daripada ubat seperti morfin. Beberapa produk berasaskan tumbuhan ganja telah dicadangkan sebagai rawatan untuk sakit kanser. Produk ini termasuk ganja herba yang disedut atau ditelan secara oral, dan pelbagai minyak, semburan atau tablet yang mengandungi bahan aktif ganja yang diperoleh daripada tumbuhan, atau dibuat secara sintetik. Sesetengah orang yang mengalami sakit kanser telah melaporkan bahawa CbM berkesan untuk mereka, dan ini sering ditonjolkan dalam media.

Apa yang kami ingin ketahui?

Jika CbMs melegakan kesakitan kanser pada orang yang hidup dengan kanser.

Jika CbM dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini atau berbahaya.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian klinikal yang membandingkan CbM dengan ubat lain untuk merawat sakit kanser pada orang dewasa.

Kami membuat ringkasan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan pada faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 14 kajian yang melibatkan 1823 orang. Kajian terbesar melibatkan 399 orang dan kajian terkecil melibatkan 10 orang.

Kajian telah dijalankan di negara-negara di seluruh dunia; kebanyakannya (enam) bertempat di Amerika Utara.

Lima kajian menggunakan satu dos CbM dan berlangsung kurang daripada satu hari. Kajian lain berlangsung antara dua dan lapan minggu.

Syarikat farmaseutikal membiayai tujuh kajian.

Enam kajian membandingkan semburan mulut dengan gabungan tetrahydrocannabinol (THC) berasaskan tumbuhan, bahan psikoaktif utama ganja, dan cannabidiol (CBD), bahan anti-radang ganja, terhadap ubat palsu (plasebo). Tujuh kajian membandingkan kanabinoid tiruan yang meniru kesan THC terhadap plasebo. Daripada tujuh kajian ini, dua kajian juga dibandingkan dengan ubat seperti morfin (kodin) Satu kajian membandingkan CBD dengan plasebo.

Kami tidak menemui kajian dengan ganja herba.

Keputusan utama

Semburan mulut dengan gabungan THC dan CBD berasaskan tumbuhan mungkin tidak lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan kesakitan pada orang dengan sakit kanser sederhana hingga teruk walaupun menerima rawatan opioid. Tiga puluh dua daripada 100 orang dilaporkan banyak atau sangat bertambah baik dengan semburan mulut berasaskan kanabis dan 23 daripada 100 orang dengan semburan mulut dengan plasebo. Sebanyak 19 daripada 100 orang menarik diri awal kerana kesan sampingan semburan mulut berasaskan kanabis dan 16 daripada 100 orang semburan mulut dengan plasebo. Tiada perbezaan dalam kesan sampingan yang serius antara semburan mulut berasaskan kanabis dan semburan mulut plasebo.

Kannabinoid tiruan yang meniru kesan THC mungkin tidak lebih baik daripada ubat palsu dalam mengurangkan kesakitan berkaitan dengan kemoterapi atau radiokemoterapi pada orang yang menghidap kanser kepala dan leher serta jenis kanser paru-paru tertentu.

Satu dos kanabinoid tiruan yang meniru kesan THC mungkin lebih baik daripada satu dos plasebo, tetapi mungkin tidak berbeza daripada satu dos kecil ubat seperti morfin dalam mengurangkan kesakitan kanser sederhana hingga teruk selepas pemberhentian rawatan analgesik selama tiga hingga empat setengah jam.

CBD mungkin tidak menambah nilai kepada penjagaan paliatif pakar sahaja dalam mengurangkan kesakitan pada orang dengan kanser lanjutan.

Kami tidak menemui kajian dengan ganja perubatan.

Apakah batasan bukti?

Kami yakin dengan sederhana tentang bukti bahawa semburan mulut dengan gabungan THC dan CBD berasaskan tumbuhan tidak mengurangkan kesakitan kanser yang teruk walaupun rawatan opioid kerana kajian tidak memberikan maklumat tentang semua yang boleh kami gunakan.

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti bahawa kanabinoid tiruan yang meniru kesan THC (nabilone) tidak mengurangkan kesakitan yang berkaitan dengan kemoterapi atau radiokemoterapi kerana kajian tidak memberikan data tentang semua yang boleh kami gunakan, dan kerana saiz kajian yang kecil.

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti bahawa kanabinoid tiruan yang meniru kesan THC mengurangkan kesakitan kanser selepas ubat penghilang rasa sakit dihentikan beberapa jam sebelumnya kerana kajian tidak memberikan data tentang semua yang boleh kami gunakan, dan kerana kajian itu kecil.

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti bahawa CBD ditambah kepada penjagaan paliatif standard tidak mengurangkan kesakitan kanser kerana hanya terdapat satu kajian yang tersedia.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hazwan Bin Zainal Abidin (RCSI &UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information