Kanta intraokular trifokal dibandingkan dengan kanta intraokular kedalaman fokus diperluaskan untuk orang yang menjalani pembedahan katarak

Apakah matlamat ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menilai kesan kanta-kanta tiruan yang diletakkan di dalam mata selepas pembuangan katarak. Khususnya, kami ingin membandingkan kesan kanta intraokular trifokal dengan kanta intraokular kedalaman fokus diperluaskan (EDOF).

Mesej utama

Orang yang mempunyai kanta trifokal atau EDOF (TECNIS Symfony) yang ditanam selepas pembuangan katarak mereka boleh mempunyai tahap penglihatan jauh yang sama.

Orang yang menerima kanta trifokal boleh mempunyai penglihatan dekat yang lebih baik dan boleh menjadi kurang bergantung kepada cermin mata untuk tugas-tugas yang memerlukan penglihatan dekat yang baik berbanding mereka yang menerima kanta EDOF (TECNIS Symfony).

Selepas pembedahan, kesan-kesan penglihatan yang tidak diingini seperti halos dan silau boleh berlaku dengan kedua-dua jenis kanta, dengan tiada perbezaan yang bermakna dikesan antara kanta-kanta tersebut.

Komplikasi pembedahan yang signifikan atau ketidakpuasan dengan pilihan kanta yang ditanam jarang berlaku.

Apakah matlamat ulasan kami?

Kanta di dalam mata boleh menjadi legap dengan pertambahan umur dan ini boleh menyebabkan kehilangan penglihatan. Apabila ini berlaku, ia dikenali sebagai katarak. Doktor mata boleh membuang katarak melalui pembedahan pendek yang menggantikan kanta kabut dengan kanta tiruan, juga dikenali sebagai kanta intraokular (IOL). Secara tradisinya, IOL tersebut adalah kanta ‘monofokal’, dan ia direka untuk berfungsi paling baik untuk jarak tetap. Sebagai contoh, IOL boleh memberikan penglihatan jauh yang baik (seperti untuk memandu dan menonton televisyen) atau penglihatan dekat yang baik (seperti untuk membaca dan menjahit), tetapi bukan untuk kedua-duanya. Ini bermakna, mengikut sejarah, orang kerap memerlukan cermin mata untuk penglihatan jelas bagi kedua-dua tugasan jarak jauh dan dekat selepas pembedahan katarak. Baru-baru ini, kanta yang lebih baru telah dicipta bertujuan untuk memperoleh penglihatan jelas dalam lingkungan jarak yang lebih luas, dan menghilangkan keperluan untuk cermin mata sama sekali. Walau bagaimanapun, IOL yang lebih baru ini dikaitkan dengan kesan penglihatan yang tidak diingini seperti halo dan silau. Ulasan ini membandingkan kesan dua jenis IOL yang lebih baru: kanta trifokal berbanding kanta kedalaman fokus diperluaskan (EDOF).

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mengumpul dan menganalisa kesemua kajian yang relevan yang membandingkan kesan-kesan kanta trifokal dan EDOF. Kami membanding dan merumus keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian, saiz kajian, dan konsistensi hasil merentas kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah menemui lima kajian, empat daripadanya telah dijalankan di Eropah dan satu di Amerika Utara. Kajian-kajian membentangkan keputusan daripada 233 peserta (466 mata) pada 3 hingga 6 bulan susulan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

• Orang yang mempunyai kanta trifokal boleh mempunyai penglihatan jauh yang tidak begitu berbeza dengan penglihatan jauh orang yang mempunyai kanta TECNIS Symfony EDOF selepas pengekstrakan katarak (bukti berkepastian rendah). Walau bagaimanapun, orang dengan kanta trifokal boleh mempunyai penglihatan dekat yang lebih baik dan boleh kurang berkemungkinan memerlukan cermin mata berbanding dengan orang dengan kanta EDOF (bukti berkepastian rendah).

• Peserta kajian telah melengkapkan soal selidik tentang penglihatan mereka selepas pembedahan katarak. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua jenis kanta berfungsi dengan baik dan nampaknya tiada sebarang perbezaan penting antara mereka (bukti berkepastian rendah).

• Halos dan silau berlaku dengan kedua-dua jenis kanta, dengan tiada perbezaan yang bermakna dikesan antara kanta-kanta tersebut (bukti berkepastian rendah).

• Kesan sampingan jarang berlaku (bukti berkepastian rendah).

Apakah batasan bukti?

Semua kajian secara relatifnya bersifat jangka pendek, dengan tiada yang melaporkan kesan ekonomi. Kami menilai bukti sebagai ‘berkepastian rendah’ kerana kajian mempunyai keputusan yang tidak tepat, dan kami tidak pasti sekiranya reka bentuk kajian mungkin telah menyebabkan bias dalam keputusan tersebut.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami telah mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan setakat 15 Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Tools
Information