Sukrosa untuk analgesia (penahan sakit) kepada bayi baru lahir yang sedang menjalani prosedur tusukan tumit

Mesej utama

- Sukrosa, berbanding rawatan pemalar, mungkin boleh mengurangkan kesakitan untuk satu kejadian yang menyakitkan (tusukan tumit).

- Terdapat beberapa peristiwa mudarat segera yang kecil, seperti tersedak, yang dapat diselesaikan tanpa intervensi.

- Kami memerlukan kajian yang meneliti kesan pemberian sukrosa berulang pada hasil segera (tahap kesakitan) dan hasil jangka panjang (perkembangan saraf).

- Kita perlu menilai kesan sukrosa terhadap neonat yang sangat pramatang, tidak stabil, atau bergantung pada pengalihudaraan (atau gabungan mana-mana faktor ini).

Apakah itu analgesia sukrosa?

Sukrosa (gula, atau gula tebu) dicampur dengan air untuk menghasilkan sebatian dalam pelbagai kepekatan (biasanya 24%) dan diberikan kepada bayi dalam jumlah yang sangat kecil (contohnya beberapa titis) kira-kira dua minit sebelum prosedur yang menyakitkan. Sukrosa juga diberikan bersama-sama intervensi pelega kesakitan bukan ubat seperti puting (menghisap bukan untuk menyusu) atau apabila bayi menerima penjagaan kulit ke kulit.

Mengapakah perkara ini penting untuk bayi baru lahir yang sedang menjalani prosedur tusukan tumit?

Bayi yang sakit atau tidak matang, dan perlu dirawat di hospital, akan menjalani beberapa prosedur yang menyakitkan setiap hari dan banyak prosedur yang menyakitkan sepanjang tempoh perawatan di hospital; untuk kebanyakan bayi, kebanyakan prosedur yang menyakitkan adalah tusukan tumit. Jika tidak dirawat, kesakitan mempunyai akibat serta-merta dan jangka panjang yang boleh memberi kesan kepada perkembangan otak dan tingkah laku mereka. Adalah penting untuk meminimakan bilangan prosedur yang menyakitkan dan tahap kesakitan dan penderitaan yang berkaitan dengan prosedur tersebut.

Apakah yang ingin kami tahu?

Kami ingin mengetahui sejauh mana sukrosa mampu melegakan kesakitan dalam kalangan bayi baru lahir yang menjalani prosedur tusukan tumit semasa mereka dirawat di hospital. Kami juga ingin menyiasat keselamatan penggunaan sukrosa untuk melegakan kesakitan akibat satu kejadian menyakitkan seperti tusukan tumit.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat:

- Membandingkan sukrosa dengan pendekatan tanpa rawatan atau rawatan standard;

- Membandingkan sukrosa dengan air, larutan manis yang lain (cth glukosa);

- Membandingkan sukrosa dengan intervensi yang tidak melibatkan ubat yang lain (cth penghisapan puting bukan untuk tujuan menyusu, NNS);

- Menentukan sama ada sukrosa berkesan dalam mengurangkan jumlah dan darjah kesakitan yang dialami bayi sepertimana yang dianggarkan berdasarkan tindak balas kesakitan bayi (misalnya, menangis, meringis, kadar degupan jantung) dan dengan menggunakan skala kesakitan bayi standard.

Kami juga ingin menyiasat sama ada sukrosa dikaitkan dengan sebarang kesan sampingan dalam kalangan bayi pramatang ataupun cukup bulan.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menentukan tahap keyakinan kami terhadap bukti yang dikumpulkan berdasarkan faktor-faktor seperti perkaedahan kajian.

Apa yang kami temui?

Kami mengulas 55 kajian yang melibatkan sejumlah 6273 orang bayi. Dua puluh sembilan kajian melibatkan bayi cukup bulan sahaja, 22 kajian melibatkan bayi pramatang sahaja, dan empat kajian melibatkan kedua-duanya. Tusukan tumit adalah prosedur yang menyakitkan yang dikaji dalam 50 kajian. Lima kajian menyiasat pelbagai prosedur kecil yang menyakitkan selain daripada tusukan tumit.

Keputusan utama

- Sukrosa, jika dibandingkan dengan rawatan pemalar, mungkin mengurangkan kesakitan akibat tusukan tumit tunggal dalam kalangan bayi.

- Keputusan tidak jelas tentang keberkesanan sukrosa berbanding NNS, penyusuan susu ibu, akupunktur laser, dan tucking terkendali dari segi pengurangan skor kesakitan.

- Keputusan tidak jelas tentang keberkesanan gabungan sukrosa + NNS berbanding NNS sahaja dari segi pengurangan tahap kesakitan.

- Sukrosa nampaknya tidak mengurangkan kesakitan akibat tusukan tumit tunggal jika dibandingkan dengan pemberian glukosa, susu ibu yang diperah dan penjagaan kulit ke kulit.

- Peristiwa mudarat yang dilaporkan bersifat remeh dan dapat diselesaikan tanpa sebarang campur tangan.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai bukti berkepastian sederhana bahawa sukrosa berkemungkinan mengurangkan kesakitan semasa tusukan tumit.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat Februari 2022.

Sumber pendanaan kajian

Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang menerima pembiayaan daripada badan industri.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information