Seberapa tepat imbasan pengimejan resonans magnetik (magnetic resonance imaging, MRI) untuk mengesan kanser hati?

Mesej utama

Pada pesakit penyakit hati kronik, pengimejan resonans magnetik (MRI: imbasan keratan rentas di dalam badan) mungkin terlepas kanser hati pada 16% orang, dimana mereka tidak akan menerima rawatan tepat pada masanya atau sesuai, dan secara salah mengesan kanser hati pada 6% orang, dimana mereka akan menerima rawatan yang tidak perlu.

MRI mungkin terlepas kanser hati pada 16% pesakit kanser hati yang boleh menjalani pembedahan untuk membuang sebahagian daripada hati mereka, dan secara salah mendapati kanser hati pada 7% orang yang menjalani pembedahan yang tidak sesuai.

Kajian-kajian ini mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi dan terlalu berbeza antara satu sama lain untuk membolehkan kami membuat kesimpulan yang kukuh berdasarkan bukti tersebut.

Mengapa penting untuk mendiagnosis kanser hati dengan tepat?

Kanser hati, atau “karsinoma hepatoselular” berlaku pada kebanyakan pesakit penyakit hati kronik, tanpa mengira penyebabnya. Ia merupakan kanser keenam paling kerap di dunia dan penyebab kematian ketiga akibat kanser. Ia sukar didiagnos kerana simptom awalnya serupa dengan penyakit hati. Pesakit dengan ujian darah atau keputusan ultrasound yang menunjukkan kanser hati boleh menjalani ujian yang lebih lanjut, seperti imbasan yang menghasilkan imbasan hati, atau biopsi di mana sekeping kecil hati dikeluarkan dan diperiksa. Sekiranya kanser hati dikesan awal, penghidap mungkin dirawat dengan pembedahan untuk membuang sebahagian hati (dipanggil reseksi hati) atau dengan pemindahan hati. Jika kanser hati lebih maju, mungkin memerlukan kemoterapi Jika kanser hati terlepas pada ujian diagnostik, penghidap tidak akan menerima rawatan yang sesuai. Tetapi, salah mendiagnosis kanser hati apabila ia tidak hadir bermakna orang tersebut mungkin menjalani ujian atau rawatan yang tidak diperlukan.

Apakah pengimejan resonans magnetik (MRI) dan bagaimana ia boleh mendiagnosis kanser hati?

MRI menghasilkan imej yang menunjukkan keratan rentas atau 'hirisan' tulang, saluran darah, dan tisu-tisu di dalam badan. Gambaran imej terdiri daripada siri keamatan isyarat yang diarahkan dan digabungkan oleh komputer. Imbasan MRI boleh mengesan kehadiran keabnormalan dalam hati yang mungkin merupakan kanser. Garis panduan semasa mengesyorkan penggunaan sama ada MRI atau pengimejan lain yand dipanggil tomografi terkira, atau gabungan untuk mengesahkan kehadiran kanser hati pada orang yang mungkin menghidap kanser hati.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada MRI cukup tepat untuk mendiagnosis kanser hati pada orang dewasa dengan penyakit hati kronik. Kami berminat pertama, pada kanser hati dengan mana-mana saiz dan peringkat serta kedua, kanser hati yang sesuai untuk reseksi.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang menilai ketepatan imbasan MRI berbanding ujian terbaik yang sedia ada untuk mengesahkan kanser hati pada orang dewasa dengan penyakit hati kronik. Ujian terbaik yang sedia ada ialah pemeriksaan hati, atau sebahagian daripada hati di bawah mikroskop.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menjumpai 34 kajian yang menilai 4841 peserta.

Sekitar 560 daripada 1000 (56%) orang dewasa dengan penyakit hati kronik telah disahkan mempunyai kanser hati. Daripada 1000 orang ini, MRI boleh:

- mengesan kanser hati dengan tepat pada 473 orang;

- terlepas kanser hati pada 87 orang;

- salah mengesan kanser hati pada 27 orang yang tidak mempunyai kanser;

- mengesan tiada kanser hati dengan tepat pada 413 orang.

Berdasarkan kajian, sekitar 560 daripada 1000 orang (56%) dewasa dengan penyakit hati kronik telah mengesahkan kanser hati yang boleh direseksi. Daripada 1000 orang ini, MRI boleh:

- mengesan kanser hati yang boleh direseksi dengan tepat pada 472 orang;

- terlepas kanser hati yang boleh direseksi pada 88 orang;

- salah mengesan kanser hati yang boleh direseksi pada 31 orang;

- mengesan kanser hati yang tidak boleh direseksi dengan tepat pada 409 orang.

Apakah batasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana kajian menggunakan kaedah yang berbeza untuk memilih peserta kajian dan menggunakan definisi yang berbeza untuk kehadiran penyakit hati. Ini bermakna imbasan MRI mungkin lebih atau kurang tepat daripada apa yang dicadangkan oleh analisis bukti kami.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 9 November 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Saw Zhi Kuan (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information